Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Stesen Kereta Api Tanjong Pagar diberi nafas baru

KTM
Sep 05, 2022 | 05:30 AM



SETELAH dikosongkan selama hampir lebih sedekad, bekas Stesen Kereta Api Tanjong Pagar bakal diberi nafas baru, dengan kerja-kerja pemulihan monumen negara itu akan dimulakan pada 2024 dan dijangka siap menjelang 2026.



Apabila ia dibuka semula kepada orang ramai, bekas stesen itu boleh diubah menjadikannya sebagai sebuah institusi sivik dan masyarakat, bangunan komersial dengan pilihan makanan dan minuman, atau hotel, menurut dokumen tender bagi mendapatkan perkhidmatan rundingan untuk kerja-kerja pemulihan yang diterbitkan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA).



Rancangan tersebut, termasuk penggunaan bangunan itu yang lebih terperinci, masih lagi dikaji, menurut seorang jurucakap SLA baru-baru ini, ketika menjawab pertanyaan oleh akhbar The Straits Times (ST). Beliau menambah bahawa butiran lanjut akan dikongsikan apabila sudah siap.



Menurut dokumen itu, kerja-kerja pemulihan dijadualkan bermula pada April 2024 dan siap pada September 2026.



Dibuka pada 1932, stesen itu telah dikosongkan pada 2011 berikutan pemberhentian perkhidmatan rel yang ditamatkan di sana oleh pengendali kereta api Malaysia, Keretapi Tanah Melayu (KTM) pada Jun tahun itu.



Sekitar dua bulan sebelum itu, stesen itu telah diwartakan sebagai monumen negara, di mana bentuk dan fasad bangunan itu perlu dikekalkan dan tidak boleh diubah.



Perunding yang dilantik akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan kerja-kerja pemulihan reka bentuk mengikut garis panduan pemuliharaan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).



SLA berkata dalam dokumen itu bahawa kerja-kerja pemulihan dianggarkan menelan belanja sebanyak $40 juta.



Ia juga berkata penyelidikan terhadap struktur bangunan yang dijalankan pada 2019 mendedahkan bahawa keseluruhan integriti struktur bekas stesen itu, yang mempunyai keluasan lantai kasar sekitar 11,000 meter persegi, berada dalam "keadaan boleh dipulihkan, tertakluk kepada kerja pembaikan yang dilakukan".



"Jubin bumbung yang rata mengalami kerosakan teruk manakala tiang bangunan juga perlu diperbaiki," kata agensi itu sambil menambah bangunan itu mengalami resapan air ke bahagian dalam.



Keretakan, tumbuh-tumbuhan dan kotoran di permukaan bangunan juga boleh dilihat pada fasad bangunan.



Perunding dikehendaki menjalankan penilaian impak warisan untuk mengurangkan kemungkinan kesan kerja-kerja pemulihan ke atas ciri-ciri bangunan, dan juga digalakkan untuk membangunkan pelan warisan yang akan menggalakkan penghargaan orang ramai terhadap bangunan bersejarah itu.



Ini akan menyaksikan papan cerita dan plak didirikan di stesen itu.



Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) berkata bahawa pada 2015 penggunaan seterusnya bekas stesen itu akan bertahan selama sekitar 20 tahun, sementara menunggu pembangunan Kawasan Persisiran Selatan (GSW).



Stesen ini juga akan menjadi pintu masuk selatan ke Koridor Rel sepanjang 24 kilometer, yang menggabungkan laluan hingga ke Kranji.



Pada 2017, sekitar 580 meter kanopi platform stesen itu telah dipotong menjadi 63 bahagian dan dialihkan, bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan stesen MRT Cantonment baru dijalankan di bawah kawasan platform.



Kanopi tersebut kemudian akan dipasang semula di tapak asalnya apabila pembinaan stesen - yang merupakan sebahagian daripada Laluan Circle 6 (CCL6) - siap.



Pihak berkuasa berkata bahawa stesen Cantonment akan disepadukan dengan bekas Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, dan stesen di CCL6 - yang juga termasuk stesen Keppel dan Prince Edward Road - akan dibuka pada 2026.



Kerja-kerja membina terowong untuk CCL6 telah diselesaikan pada Januari tahun ini, dan menerobosi hampir 6.7m di bawah bekas Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, menyebabkan langkah-langkah perlindungan dilakukan sebelum menggali terowong dimulakan.



Ini termasuk memasang struktur pelindung di dalam dan di luar bangunan, dan 600 instrumen pemantauan untuk mengesan pergerakan bangunan semasa kerja menggali terowong dijalankan.



Penulis dan pengarang blog warisan, Encik Jerome Lim, berkata penyepaduan bekas stesen kereta api dan stesen MRT baru itu akan membantu mengimbau kembali kenangan di tapak bekas stesen kereta api itu.



Beliau berharap bekas bangunan stesen itu tidak akan digunakan sebagai "satu lagi destinasi runcit serta makanan dan minuman (F&B)".



"Jika is digunakan sebagai hotel mungkin lebih sesuai, memandangkan tingkat atasnya direka untuk menempatkan hotel stesen yang beroperasi di dalamnya bagi satu jangka masa, walaupun ini mungkin bermakna akses awam akan dihadkan," kata Encik Lim.



Beliau menambah stesen itu dibina sebagai pintu masuk dari benua Asia ke Eropah, serta ke Lautan Hindi dan Lautan Pasifik melalui pelabuhan di Tanjong Pagar.



Dengan adanya sebuah muzium maritim atau pengangkutan, ia mungkin dapat menceritakan sejarah kawasan itu.



Ramai orang awam yang telah mencadangkan agar stesen itu menempatkan muzium sejak diumumkan pada 2010 bahawa perkhidmatan kereta api ke stesen itu akan dihentikan.



"Bekas stesen itu juga memancarkan pesona dunia lama, dan jika dipulihkan dengan betul, ia boleh membangkitkan kenangan zaman ia dibina," kata Encik Lim, yang juga berharap bahawa dewan utama stesen itu akan dikekalkan, kerana ia "memberikan penumpang rasa ketibaan dan berlepas".




"Jika ia digunakan sebagai hotel mungkin lebih sesuai, memandangkan tingkat atasnya direka untuk menempatkan hotel stesen yang beroperasi di dalamnya bagi satu jangka masa, walaupun ini mungkin bermakna akses awam akan dihadkan.



...Bekas stesen itu juga memancarkan pesona dunia lama, dan jika dipulihkan dengan betul, ia boleh membangkitkan kenangan zaman ia dibina," kata Encik Lim, yang juga berharap bahawa dewan utama stesen itu akan dikekalkan, kerana ia "memberikan penumpang rasa ketibaan dan berlepas".
- Penulis dan pengarang blog warisan, Encik Jerome Lim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >