11 syarikat hadapi tindakan dek gagal lindungi data peribadi pelanggan

SURUHANJAYA Perlindungan Data Peribadi (PDPC) Singapura telah mengambil tindakan ke atas 11 pertubuhan kerana melanggar peraturan perlindungan data di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), lapor akhbar berbahasa Inggeris, The Business Times, hari ini.

Salah satu pertubuhan yang melanggar peraturan itu ialah syarikat hiburan, K Box Entertainment Group, yang didenda $50,000 - jumlah denda terbesar - hari ini.

K Box tidak mengadakan langkah-langkah keselamatan mencukupi untuk melindungi data peribadi 317,000 anggotanya - yang mana telah dibocorkan dan dimuatnaikkan ke sebuah laman umum pada September 2014.

Mereka juga gagal mengadakan dasar perlindungan data yang mencukupi, selain melantik seorang pegawai perlindungan data.

Finantech Holdings, pembekal khidmat Teknologi Maklumat (IT) untuk sistem pengurusan K Box, turut didenda $10,000.

Ia didapati gagal menutupi lowongan keselamatan dalam sistem IT K Box, yang menyimpan data peribadi pelanggan.

Tambahan lagi, katakunci 'admin' yang digunakan untuk akaun pentadbir didapati pihak PDPC sebagai 'lemah'.

Sementara itu, Institusi Jurutera Singapura (IES) telah didenda $10,000 kerana gagal melaksanakan langkah keselamatan mencukupi untuk melindungi data peribadi yang dimilikinya sehingga menjejas 4,000 anggota pada Oktober 2014.

Atas kesalahan serupa yang menjejas lebih 900 pelanggan pada September 2014, syarikat pembekal suplemen kesihatan Fei Fah Medical Manufacturing turut dikenakan denda $5,000.

Amaran telah dikeluarkan ke atas syarikat pembekal IT, Challenger Technologies, dan pembekalnya, Xirlynx Innovations; penganjur pameran, Full House Communications; Metro, Pertubuhan Komputer Singapura dan Agensi Tuisyen Yes atas kegagalan mereka menguruskan data peribadi.

Syarikat pelancongan, Universal Travel Corporation (UTC), telah diberikan notis arahan oleh PDPC bagi memperkukuh dasar perlindungan data peribadi menyusuli pendedahan 37 data peribadi pelanggannya kepada empat individu.

Arahan itu termasuklah arahan yang menghendaki UTC memberitahu individu yang telah menerima senarai penumpang, untuk mendedahkan senarai itu kepada parti ketiga, dan memastikan kakitangan mereka mengikuti latihan menurut peraturan yang ditetapkan PDPA.

Sejak PDPA berkuatkuasa pada Julai 2014, suruhanjaya itu telah menerima 667 aduan, di mana 34 peratus berjaya ditangani menerusi siasatan dan menawarkan kemudahan antara pertubuhan-pertubuhan ini dengan individu, sedang 58 peratus lagi telah ditutup.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 65
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.