Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

25 tahun selepas pesawat SilkAir terhempas: Sebab ibu kehilangan anak dalam nahas tidak tukar nombor telefon lama

Dec 18, 2022 | 12:05 PM



SELAMA lebih 25 tahun, Cik Junitha Majeed telah mengekalkan nombor telefon bimbit yang sama sejak perkhidmatan telefon mudah alih digital diperkenalkan pada 1994.



Ia adalah nombor yang akan dihubungi anaknya, Encik Mohammed Malik, untuk bertanya khabar dengannya, kata Cik Junitha, 69 tahun.



Encik Mohammed Malik merupakan peruncit forex berusia 23 tahun dan merupakan salah seorang daripada 104 penumpang pesawat penerbangan SilkAir MI185, yang terhempas di Sungai Musi di Sumatera, Indonesia, pada 19 Disember 1997.



“Saya tidak pernah melihat jenazahnya. Sebahagian hati saya masih mengharapkan keajaiban, di mana dia masih hidup di suatu tempat. Dia akan berusia 48 tahun sekarang,” kata Cik Junitha.



Pesawat itu berlepas dari Jakarta pada 4.37 petang waktu Singapura, menuju ke Lapangan Terbang Changi.



Masa penerbangan hanya kurang daripada dua jam.



Antara penumpangnya ialah model dan penulis terkenal Bonny Hicks, 29 tahun.



Sekitar 30 minit dalam penerbangan, pesawat, yang berada di satu ketinggian mula terhempas curam ke dalam sungai dan berkecai.



Cik Junitha berkata beliau tidak pernah melupakan janjinya kepada Allahyarham - untuk memberi laluan dan memberikan pendidikan yang baik buat dua adiknya.



Dua adiknya yang berusia 42 tahun dan 40 tahun, merupakan lulusan universiti dan kini bekerja di New Zealand. 



Cik Junitha pula menghabiskan sebahagian besar masanya di sana untuk membantu menjaga dua cucunya yang berusia lima tahun dan 18 bulan.



Cik Junitha yang pernah bergelut dengan emosi sedih selepas bos Encik Malik memaklumkan berita kehilangan pesawat itu kepadanya enggan terus dibelenggu kesedihan, dan memutuskan untuk melawannya.



Beberapa minggu selepas nahas itu, beliau terbaca laporan media yang memberi andaian kemalangan itu mungkin dirancang.



"Saya tidak percayakan teori bahawa juruterbang telah membunuh diri. Saya melihat kes nahas Boeing 737 sebelum ini dalam berita dan ingin mencari kebenaran tentang apa yang berlaku kepada pesawat itu,” katanya.



Beliau menghubungi keluarga mangsa yang ditemuinya di Indonesia dan mengusahakan agar mereka boleh mengemukakan kes terhadap pengeluar pesawat Boeing dan pengeluar kemudi Parker Hannifin Corp ke mahkamah di Amerika Syarikat.



Kes ini dibicarakan di Los Angeles pada Jun 2004 dengan juri mendapati Parker Hannifin bertanggungjawab sepenuhnya atas nahas SilkAir lantas mengarahkannya membayar AS$43.6 juta (S$60 juta) kepada tiga keluarga dalam perbicaraan itu.



Mahkamah merumuskan nahas itu berpunca daripada injap servo yang rosak pada kemudi pesawat.



Cik Junitha menemui penutupan pada kes itu  tetapi urusannya tidak berakhir di situ.



Apabila Penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang pada Mac 2014, dengan 239 penumpang dan anak kapal, beliau menghubungi seorang rakan di Beijing yang boleh membantu menghubungkannya dengan keluarga yang kehilangan orang tersayang.



Beliau terbang ke ibu kota China beberapa kali, menasihati saudara mara mangsa yang kecewa dan memberi nasihat kepada mereka.



“Hati saya sebak kerana saya tahu apa yang mereka alami. Saya berkongsi kisah saya dengan mereka dan memberitahu mereka bahawa apa yang berlaku di luar kawalan mereka,” kata Cik Junitha.



Suami Cik Atsuko Nishino, Encik Hajime Nishino, menaiki Penerbangan MI185.



Cik Nishino yang berusia 65 tahun itu berkata kehilangan itu menyakitkan, tetapi beliau payah melupakan.



“Saya terpinga-pinga dan tiada ingatan tentang tempoh itu. Amat sukar untuk saya menerima dia sudah tiada,” kata warga Jepun itu.



Pasangan itu telah berpindah ke Singapura untuk bekerja pada 1986, dan Encik Nishino, yang berusia 40 tahun ketika meninggal dunia, kemudiannya menubuhkan perniagaan farmasi di sini.



Dengan bantuan saudara mara, rakan dan kakitangan, Cik Nishino kini meneruskan perniagaan suaminya.



“Saya terpaksa bermula dari sifar, tidak kurang daripada itu. Saya tidak tahu apa-apa. Saya terpaksa belajar berunding dengan pembekal dan memutuskan hala tuju syarikat,” katanya.



Beliau terus menerajui syarikat Nishino Pharmacy sehingga hari ini. Ia adalah cara beliau mengekalkan warisannya.



Cik Nishino juga melawat tugu peringatan yang diamanahkan oleh SilkAir di Palembang setiap tahun. Singapore Airlines (SIA) membantu mengatur penerbangan, katanya.



Tetapi disebabkan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh Covid-19, beliau telah melawat tugu peringatan di Choa Chu Kang.



“SIA tidak melupakan kami. Dalam tiga tahun lalu (semasa pandemik), mereka mengatur agar bunga ditaburkan di Sungai Musi dan menghantar video majlis itu kepada kami kerana kami tidak dapat berada di sana.



"Saya amat berterima kasih untuk itu,” katanya.



Peguam Kanan, Encik Lok Vi Ming, yang mewakili SilkAir semasa bekerja di Rodyk and Davidson pada awal 2000-an, mengimbas kembali bagaimana syarikat penerbangan itu membuat keputusan awal untuk membayar pampasan kepada keluarga mereka yang maut dalam nahas itu.



Encik Lok berkata:



"SilkAir membuat bayaran pendahuluan kepada ahli keluarga dan kemudiannya, mereka membuat penyelesaian muktamad."



Di bawah Konvensyen Warsaw, SilkAir dan syarikat induknya SIA bertanggungjawab menanggung kos tidak melebihi AS$75,000, termasuk kos perbelanjaan undang-undang, bagi kematian penumpang yang bertiket.



Namun, ia menawarkan bayaran pendahuluan sebanyak AS$20,000 pada Januari 1998 untuk membantu keluarga terjejas dengan perbelanjaan mereka.



Pada April 1998, SilkAir menawarkan wang penyelesaian sebanyak AS$75,000, yang kemudiannya meningkat kepada AS$140,000 pada Januari 1999.



Tawaran akhir sebanyak AS$200,000 telah dibuat pada November 1999.



Cik Junitha tidak akan dapat melupakan pengalaman kehilangan anaknya. Tetapi membantu orang lain menjadi penawar buatnya.



"Saya amat merindui anak saya dan rasa sedih adakalanya. Tetapi saya mempunyai dua lagi anak yang sudah dewasa dan mempunyai keluarga mereka sendiri," jelasnya.



SilkAir bergabung dengan SIA dan menghentikan penerbangan komersialnya pada 2021.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >