27 warga Bangladesh ditahan bawah ISA

MHA: Pekerja asing sokong ideologi jihad bersenjata didukung Al-Qaeda & ISIS

SERAMAI 27 lelaki warga Bangladesh yang bekerja di sini telah diberkas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam satu keyataannya, Kementerian Dalam Negeri (MHA) berkata, siasatan menunjukkan lelaki tersebut menyokong ideologi jihad bersenjata yang dipegang kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan kumpulan militan ISIS.

Sebahagian daripada mereka juga telah memikirkan untuk melakukan jihad bersenjata di luar negara, meskipun mereka tidak merancang menjalankan serangan di Singapura.

Lelaki tersebut, yang bekerja dalam industri pembinaan setempat, telah ditahan antara 16 November dengan 1 Disember tahun lalu.

MHA berkata, daripada 27 yang diberkas, 26 merupakan anggota kumpulan agama tertutup yang yakin kepada kepercayaan dan ajaran ekstrim individu radikal seperti Anwar al-Awlaki, seorang guru agama Amerika berketurunan Yaman, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

Awlaki telah terbunuh dalam serangan dron di Yaman pada September 2011.

Dalam pada itu, seorang lagi lelaki yang diberkas bukan merupakan anggota kumpulan tersebut tetapi MHA menerangkan dia didapati sedang menjadi radikal.

"Dia menyokong guru agama bersikap ekstrim dan memiliki bahan berkaitan jihad," kata MHA.

Kenyataan itu menambah, pas kerja kesemua 27 lelaki itu telah dibatalkan dan 26 daripada mereka telah dihantar pulang ke Bangladesh. Pihak berkuasa Bangladesh juga telah dimaklumkan mengenai sebab rakyat mereka itu dihantar pulang, kata MHA.

Seorang lagi pula kini sedang menjalani hukuman penjara kerana cuba meninggalkan Singapura secara terlarang setelah mendapat tahu mengenai penangkapan teman-temannya. Lelaki itu akan turut dihantar pulang ke Bangladesh selepas selesai menjalani hukuman.

Menurut MHA, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) turut menemui sejumlah bahan radikal dan berkaitan jihad termasuk buku dan video memaparkan kanak-kanak menjalani latihan di tempat yang kelihatan seperti kem ketenteraan.

"Beberapa anggota kumpulan itu juga memiliki dokumen yang dikongsi dengan imej grafik dan arahan terperinci bagaimana untuk melakukan pembunuhan secara senyap menggunakan kaedah dan senjata berbeza.

"Anggota kumpulan itu juga berhati-hati untuk tidak dikesan pihak berkuasa, dengan berkongsi bahan berkaitan jihad secara rahsia dan mengadakan pertemuan mingguan untuk membincangkan konflik bersenjata melibatkan Muslim," kata MHA, sambil menambah kumpulan tersebut juga berusaha mengrekrut rakyat Bangladesh yang lain untuk mengembangkan kumpulan mereka.

MHA turut mendedahkan, sebilangan dari warga Bangladesh yang diberkas itu turut meyokong kumpulan pengganas yang membunuh kaum Syiah kerana mereka menganggap kaum itu sebagai menyimpang dari ajaran Islam sebenar.

Selain itu, mereka juga berdendam dengan pemerintah Bangladesh kerana tindakannya terhadap beberapa kumpulan Islam dan pemimpinnya.

"Anggota mereka digalak untuk pulang ke Bangladesh dan melakukan jihad bersenjata ke atas pemerintah Bangladesh. Mereka juga mengirimkan wang kepada entiti yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ekstrim di Bangladesh," kata MHA lagi.

Kenyataan MHA itu menekankan, pemerintah memandang serius apa juga jenis sokongan kepada pengganasan. Sesiapa juga, sama ada warga asing atau sebaliknya, yang terlibat dalam kegiatan yang mengancam keselamatan Singapura serta keharmonian kaum dan agama di sini akan ditangani dengan tegas di bawah undang-undang.

"Warga asing adalah tetamu negara ini dan mereka tidak seharusnya menyalah gunakan keistimewaan itu dan menggunakan Singapura sebagai pangkalan bagi mereka mengimport agenda politik negara masing-masing dan menjalankan kegiatan bagi memenuhi agenda tersebut.

"Sehubungan dengan itu, penceramah agama warga asing yang menyebarkan doktrin yang memecah belah yang berupaya menyababkan rasa tidak percaya, permusuhan dan benci dalam kalangan kumpulan agama setempat serta mengancam perpaduan sosial Singapura tidak boleh dibenarkan beroperasi di Singapura," kata MHA lagi.

Waktu Solat

Subuh
5:54
Syuruk
7:15
Zuhur
1:18
Asar
4:41
Maghrib
7:19
Isyak
8:32
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.