Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

9 dalam 10 remaja lelaki di Singapura tengok bahan lucah: Kajian

Jun 29, 2016 | 08:06 AM



SEMBILAN dalam setiap 10 remaja lelaki di Singapura menonton atau membaca bahan lucah dalam tempoh setahun lalu, dengan ada daripada mereka kali pertama terdedah kepadanya sebelum memulakan sekolah rendah, menurut dapatan satu kajian.



Sebaliknya, hanya 8 peratus remaja perempuan - kurang daripada satu dalam 10 - mengakui melihat pornografi tahun lepas, baik secara sengaja mahupun tidak.



Dijalankan oleh Touch Cyber Wellness, agensi utama yang memberi ceramah keselamatan dalam talian di sekolah di sini, kajian itu meninjau 921 pelajar berumur 13 hingga 15 tahun untuk memeriksa pendedahan remaja kepada pornografi.



Ia melakukan kajian pertama mengenai pendedahan remaja kepada pornografi dua tahun lalu dan menyusulinya dengan yang kedua awal tahun ini.



Dibandingkan dengan kajian pertama, terdapat peningkatan 6 hingga 14 peratus remaja lelaki dan perempuan yang terdedah kepada pornografi.



Wadah utama mereka mengakses bahan lucah ialah alat mudah alih peribadi.



Dalam kalangan mereka yang telah melihat kandungan lucah itu, 88 peratus remaja lelaki dan 73 peratus remaja perempuan melihatnya melalui telefon pintar atau tablet mereka. Ini bertambah 6 peratus hingga 8 peratus berbanding tinjauan 2014.



Usia paling awal terdedah ialah sekolah rendah atas dan lebih muda bagi 52 peratus daripada remaja lelaki yang mengakses bahan tersebut, dan 28 peratus bagi remaja perempuan.



Para pakar berkata dapatan itu membimbangkan kerana kandungan lucah boleh memberi kesan kepada pembelajaran, harga diri, hubungan satu sama lain dan sikap serta tingkah laku mereka terhadap cinta dan seks. Jika menjadi ketagih, ia boleh membawa kepada pelbagai bentuk disfungsi dan jenayah seksual.



Pengurus Touch Cyber Wellness, Encik Chong Ee Jay, menyifatkan angka itu "membimbangkan seperti yang dijangka".



"Ini sejajar dengan banyak maklum balas yang kami dengar di sekolah dan melalui ibu bapa. Dengan anak-anak memiliki atau mempunyai akses kepada alat mudah alih pada usia lebih muda, risiko pendedahan tersebut menjadi amat besar," katanya.



Pakar mengatakan sudah tiba masanya ibu bapa memantau dan bercakap dengan anak-anak mereka mengenai isu-isu itu memandang kadar pendedahan dijangka naik, memandangkan penggunaan telefon bimbit di Singapura antara yang tertinggi.



Apabila ditanya bagaimana mereka mula-mula terdedah kepada pornografi, 54 peratus remaja lelaki berkata mereka sengaja mencarinya di Internet manakala 43 peratus remaja perempuan terjumpanya semasa melayari Internet.



Encik Chong berkata ada keperluan menilai apakah program di Singapura berkesan dalam mendidik anak-anak bahawa mengakses kandungan lucah berbahaya.



Ibu bapa juga boleh memasang penapis Web pada telefon bimbit anak mereka, katanya, tetapi ini mungkin hanya berkesan bagi untuk kanak-kanak lebih muda.



Antara aplikasi penapisan dan pemantauan yang disarankan ialah Mobicip, ScreenTime dan OurPact.



Encik Delane Lim, ketua eksekutif Agape Group Holdings, yang mengadakan ceramah dan kem belia di sekolah, berkata ibu bapa mesti berupaya bercakap dengan anak-anak mengenai isu-isu tersebut.



"Tetapi mereka mungkin tidak mempunyai kuasa moral untuk berbuat demikian kerana, ironinya, sesetengah ibu bapa sendiri menonton pornografi dan anak-anak mereka tahu," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >