SEKITAR 950,000 isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat Baucar GST (GSTV) – U-Save serta rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) mereka bulan ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
Jumlah yang mereka akan terima adalah antara $110 dengan $190 bagi GSTV – U-Save serta rebat S&CC bagi setengah hingga satu bulan, serupa yang telah diberikan bagi suku sebelumnya iaitu pada Julai.
Ini merupakan bayaran ketiga bagi tahun kewangan ini, dengan yang pertama diberikan pada April. Bayaran terakhir bagi tahun kewangan ini akan diagihkan pada Januari tahun depan.
Rebat itu merupakan sebahagian daripada skim GSTV tetap dan Pakej Bantuan Keluarga Tambahan yang diumumkan semasa Belanjawan tahun ini.
MOF berkata rebat itu akan terus membantu membiayai GST dan perbelanjaan harian lain bagi isi rumah warga Singapura yang berpendapatan rendah hingga pertengahan.