Abai Hari Bertenang: ELD dan polis perjelas mengapa tindakan diambil

ALASAN Jabatan Pilihan Raya (ELD) dan polis mengambil tindakan terhadap dua individu dan sebuah laman web kerana pos dalam talian mereka pada Hari Bertenang bagi pilihan raya kecil (PRK) Bukit Batok dijelaskan dalam satu kenyataan bersama pada Rabu (1 Jun).

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah kritikan daripada pengguna Internet mengenai cara polis dilaporkan menjalankan siasatan, dan gesaan Parti Pekerja (WP) agar polis konsisten dalam siasatan mereka.

Kenyataan itu menyatakan peraturan Hari Bertenang, yang diperkenal pada 2011, dilanggar semasa pelbagai pilihan raya tersebut.

Pendekatan yang diambil ELD ialah memberi amaran. Dalam beberapa kes, pelanggaran didapati tidak disengajakan, katanya.

Bagaimanapun, "kami memerhatikan apa yang kelihatan seperti pelanggaran sengaja dan serius peraturan itu... semasa pilihan raya kecil Bukit Batok," katanya.

Ini walaupun ELD mengumumkan kepada awam mengenai pelanggaran lalu serta menerbitkan peraturan beberapa kali, termasuk mengeluarkan nasihat sebelum Hari Bertenang dan peringatan seterusnya pada Hari Bertenang terhadap kegiatan yang dianggap sebagai pengiklanan pilihan raya, kata kenyataan bersama itu.

Pada PRK Bukit Batok, pelbagai orang dan laman menerbitkan pos dalam talian yang melanggar peraturan itu. Ia berkata The Independent Singapore, sebuah laman web sosio politik, terus menyiarkan bahan itu walaupun selepas menerima peringatan khusus daripada Penolong Pegawai Pilihan Raya supaya jangan berbuat demikian.

"Memandangkan peraturan itu tidak diendahkan secara terang-terangan pada pilihan raya kecil Bukit Batok, Penolong Pegawai Pilihan Raya memutuskan membuat laporan polis supaya polis boleh menyiasat."

Ia menambah: "Sebagai sebahagian daripada siasatan, polis perlu memeriksa bagi tujuan bukti peranti elektronik yang digunakan untuk menerbitkan pos dalam talian. Oleh itu, peranti itu perlu dirampas."

Apabila siasatan selesai, polis akan mengemukakan saranan kepada Jabatan Peguam Negara, kata kenyataan itu.

Selain The Independent Singapore, penulis blog Roy Ngerng dan bekas tahanan politik Teo Soh Lung sedang disiasat kerana pos mereka pada Hari Bertenang untuk menyokong calon Parti Demokratik Singapura (DAP), Dr Chee Soon Juan.

Encik Ngerng dan Cik Teo berkata pada media sosial mereka disoal siasat berjam-jam oleh polis pada Selasa dan rumah mereka juga "diserbu".

Mereka menambah bahawa telefon dan komputer mereka dirampas.

WP menggesa pihak berkuasa supaya memastikan keselarasan dan perkadaran digunakan bagi semua siasatan.

Ia juga berkata orang lain yang dilaporkan kerana melanggar peraturan sama pada masa lalu "tidak diketahui telah menghadapi temuduga sama panjang, dan pemeriksaan dan rampasan peralatan peribadi".

Parti itu berkata mereka termasuk dua calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada pilihan raya umum sebelum ini, iaitu Dr Vivian Balakrishnan tahun lepas dan Cik Tin Pei Ling pada 2011.

Kedua-duanya diingatkan oleh ELD mengenai peraturan pilihan raya, dan pos mereka dikeluarkan pada hari sama.

Dalam satu pos Facebook pada Rabu malam, Anggota Parlimen PAP Tan Wu Meng merujuk kepada kenyataan WP itu dan berkata anggota exco pusat WP yang juga Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leon Perera, ada kaitan dengan The Independent Singapore, dan "ini tidak diisytihar dalam kenyataan WP itu".

"Memandangkan ini, WP harus sedar bahawa ia boleh dilihat sebagai mempunyai kepentingan dalam hasil siasatan, dan bahawa setiap usaha perlu dibuat oleh WP untuk mengelakkan tanggapan bahawa WP cuba mengganggu siasatan," kata Encik Tan.

The Independent Singapore menyenaraikan Encik Perera sebagai anggota lembaga penasihatnya. Para penasihat tidak terlibat dalam mengendalikan laman web itu.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 64
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.