AHPETC terus diberi tanda 'merah' dalam Laporan Pengurusan Majlis Bandaran FY2014

MAJLIS Perbandaran Aljunied-Hougang-Punggol East (AHPETC) terus diberi tanda merah bagi dua perkara dalam Laporan Majlis Bandaran Tahun Kewangan 2014 Kementerian Pembangunan Negara (MND) yang dikeluarkan pada Selasa (1 Dis).

Ini kali keempat AHPETC mendapat tanda merah bagi pengurusan tunggakan yuran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) dan kali ketiga bagi tadbir urus korporat.

Majlis bandaran dinilai di bawah lima penanda, menggunakan tiga tanda warna. Penilaian berdasarkan kriteria objektif yang boleh diukur, yang dikemukakan oleh majlis bandaran dan juruaudit mereka.

MND berkata kebanyakan majlis bandar menunjukkan prestasi baik dalam semua perkara, walaupun sesetengah boleh melakukan lebih baik dalam bidang penyenggaraan harta, pengurusan tunggakan S&CC dan tadbir urus korporat.

AHPETC gagal menyerahkan laporan bulanan tunggakan S&CC itu bagi tempoh penilaian walaupun ia diingatkan supaya berbuat demikian dan telah diberi pelanjutan tarikh akhir, kata kementerian itu dalam satu kenyataan media.

Di bawah tadbir urus korporat, AHPETC mendapat tanda "merah" kerana tiga pelanggaran undang-undang dan kawal selia, sebagaimana ditunjukkan oleh penemuan juruauditnya sendiri dan senarai semak tadbir urus korporat majlis bandaran itu sendiri.

Majlis Bandaran Chua Chu Kang dan Potong Pasir mendapat tanda "jingga" bagi pengurusan tunggakan S&CC.

Nisbah S&CC tertunggak selama tiga bulan atau lebih Majlis Bandaran Chua Chu Kang telah bertambah, sementara Majlis Bandaran Potong Pasir mempunyai penarafan yang sama seperti tahun lepas.

Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh diberi tanda "jingga" untuk tadbir urus korporat atas sebab-sebab teknikal selepas ia tersilap menggollongkan pendapatan Lesen Pendudukan Sementara antena atas bumbung kediaman di bawah dana hartanah komersial bagi tahun kewangan 2014.

Bagaimanapun, semua majlis bandaran mendapat markah baik bagi kebersihan estet dan prestasi lif.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa penyenggaraan harta kekal menjadi bidang yang boleh diperbaiki bagi semua majlis bandaran, dengan adangan di kawasan umum menjadi isu utama.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.