JAKARTA - Para penyiasat yang memeriksa rakaman suara kokpit pesawat AirAsia yang terhempas berkata, mereka sedang menimbangkan sama ada kesilapan manusia atau masalah pesawat yang menyebabkan kemalangan tersebut.
Penerbangan QZ8501 itu terhempas di Laut Jawa bersama 162 orang semasa cuaca buruk dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada 28 Disember lalu.
Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (NTSC), yang menyiasat nahas tersebut, berkata ia akan mengeluarkan laporan awal pada 28 Januari ini.
NTSC berkata, penilaian awal rakaman suara kokpit mendapati tiada bukti terdapatnya perbuatan pengganasan dan mereka kini sedang meninjau punca-punca lain.
"Kami tidak mendengar suara orang lain, tiada letupan," kata penyiasat Encik Nurcahyo Utomo, hari ini, Selasa. - AFP