Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Allahyarham Ustaz Kamil Suhaimi jadi inspirasi

Nov 19, 2023 | 05:30 AM



Terdapat banyak persamaan dalam latar belakang dua Presiden Mahkamah Syariah yang diwawancara Berita Minggu (BM).


Misalnya, kedua-dua Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy dan Ustaz Muhammad Fazalee Jaafar memulakan pendidikan mereka di sekolah aliran nasional sebelum berpindah ke Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Selesai pengajian prauniversiti di madrasah, mereka kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir.

Mereka mempunyai satu lagi persamaan – kedua-duanya meraih inspirasi bagi haluan kerjaya mereka daripada Allahyarham Ustaz Kamil Suhaimi, seorang ustaz dan peguam yang banyak menyumbang kepada masyarakat.

“Sejak saya di madrasah, kerap ada perbualan tentang bolehkah lulusan madrasah dilatih dalam Syariah dan pada masa sama layak menjadi peguam. Guru-guru saya kerap bercakap tentang perkara ini kerana asatizah terakhir yang terlatih sepenuhnya dalam bidang agama dan dapat mengamalkan undang-undang di Singapura ialah Almarhum Ustaz Kamil Suhaimi. Sejak itu, tidak ada banyak perkembangan dalam bahagian tersebut,” kata Ustaz Irwan.

Allahyarham Ustaz Kamil berkelulusan Syariah dan Undang-Undang daripada Universiti Al-Azhar dan kemudian melanjutkan pengajian di London di Lincoln’s Inn dan lulus peperiksaan undang-undang (Barrister at Law) di sana.

Beliau kemudian membuka firma guamannya sendiri di Singapura.

Antara sumbangannya yang dilaporkan akhbar ini termasuk pandangan dan hujah-hujah bernas yang dikemukakannya pada awal 1980-an telah menghasilkan tanah-tanah dan bangunan-bangunan Wakaf yang berjaya dibangunkan dan meraih hasil lumayan.

Allahyarham Ustaz Kamil aktif di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah yang diasaskan oleh bapanya, Allahyarham As-Syeikh Muhammad Fadzulullah Suhaimi, seorang aktivis kemasyarakatan, agama dan dakwah.

Semasa berucap di majlis ulang tahun ke-80 Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah pada 2017, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, ketika itu merupakan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, berkata Allahyarham Ustaz Kamil “berwawasan melahirkan pelajar yang seimbang dunia dan akhirat, yang menggabungkan disiplin ilmu ukhrawi dan sekular”.

“Beliau menyedari pendidikan madrasah tidak terbatas pada pendidikan agama, tetapi boleh memberi sumbangan bermakna kepada kehidupan dan negara. Beliau buktikan dengan dirinya sendiri sebagai seorang peguam yang berjaya di Singapura, dan seorang alim yang mendidik masyarakat dan memimpin madrasah.”

Allahyarham, yang juga pernah menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Muis, meninggal dunia pada 1990.

Kini, Ustaz Irwan telah pun diterima masuk ke Badan Peguam Singapura (Singapore Bar) manakala Ustaz Fazalee perlu mengambil Bahagian B Peperiksaan Peguam Singapura sebelum boleh diterima masuk ke Bar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >