ANGKATAN Karyawan Islam (AMP) telah melantik tiga Pengarah Tambahan untuk menyertai lembaga pengarahnya (BOD) pagi tadi (Sabtu, 8 Nov).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan BOD AMP sebanyak 13 anggota.
Tiga Pengarah Tambahan baru tersebut ialah Encik Fathurrahman Hj M Dawoed, 41 tahun, Pengarah Eksekutif Andalus Corporation Pte Ltd; Encik Khairulnizam Massuan, 44 tahun, Presiden Kelab Palang Merah (North East); dan Encik Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, 35 tahun, Ketua Pegawai Eksekutif Safinah Holdings Pte Ltd.
Ketiga-tiga mereka mempunyai pengalaman, latar belakang dan kemahiran berbeza dalam kepimpinan kemasyarakatan serta pembangunan sosial.
Pengumuman tersebut dilakukan oleh Encik Abdul Hamid Abdullah, Pengerusi AMP Group, semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) AMP yang ke-27.
“Dengan pencapaian dan latar belakang kepimpinan mereka dalam bidang masing-masing, saya tidak sabar mendengar perspektif baru dan rencam mereka yang boleh memperkaya perbincangan lembaga kami serta dalam pembangunan strategi kami untuk berkhidmat kepada masyarakat,” ujar Encik Abdul Hamid.