Anak derma ginjal kepada bapa

ENCIK Abdul Hadi Ahmad bak sudah jatuh ditimpa tangga.

Kesemuanya bermula apabila isterinya, Cik Noraini Arjob, 50 tahun, disahkan menghidap penyakit barah buah dada lebih lima tahun lalu.

Penyakit yang dihidapi isterinya sudah tentu menjejas kesejahteraan keluarga lima beranak itu.

Namun, dalam kesibukan memberi perhatian kepada kesihatan dan rawatan isterinya itu, beliau pula disahkan menghidap penyakit ginjal yang berfungsi hanya lima peratus sekitar dua tahun lalu.

Tubuh yang lemah dan hilang fokus menyebabkan beliau bak layang-layang putus tali.

Encik Hadi, 49 tahun, ayah tiga anak, adalah pemilik Offshore Entertainment Production, sebuah syarikat penganjur konsert artis dan kumpulan popular antarabangsa seperti Janet Jackson, Maher Zain, Kenny Loggins, serta kumpulan Michael Learns to Rock dan Earth, Wind and Fire.

Rawatan dialisis yang menjenuhkan, memaksa beliau membatalkan kesemua tugas yang dijalankan bersama isterinya di luar negara.

Namun, bak awan mendung berarak pergi, beliau lega apabila doktor mengesahkan ginjal anak tirinya, Cik Nurain Sudin, 26 tahun, sepadan dan serasi dipindahkan kepadanya.

Anak kandungnya, Cik Nursyahira, 19 tahun, seorang pramugari, didapati tidak layak menjadi penderma kerana usia bawah 21 tahun.

"Alhamdulillah, Allah yang mengaturkan ini semua. Sebenarnya saya tak sampai hati kerana Nurain punya kehidupan sendiri. Tetapi dia sendiri yang mahu dermakan ginjalnya lebih-lebih lagi doktor jamin dia tak akan hadapi apa-apa masalah selepas pemindahan.

"Ayah mana yang tak bersyukur dan tersentuh jika anaknya sendiri sanggup derma ginjalnya kepada saya!'' tambahnya yang kelihatan sebak seketika.

Namun, Encik Hadi dan Cik Nurain terpaksa menjalani pelbagai ujian dan pemeriksaan sekitar setahun sebelum pemindahan akhirnya dijalankan di Hospital Mount Elizabeth 10 Mei lalu.

Beberapa bulan sebelum itu, Encik Hadi telah menjalani pembedahan bagi memastikan jantungnya mantap sebelum pemindahan ginjal.

Pembedahan tanpa sebarang masalah itu dijalankan sekumpulan doktor bedah yang diketuai Konsultan Nefrologi atau pakar ginjal, Dr Stephen Chew Tec Huan.

Cik Nurin, seorang kakitangan pentadbiran di Wisma Teroka Singapura (SDC), berkata: "Saya tak teragak-agak berikan ginjal kepada ayah apabila doktor kata ayah perlukannya. Saya serahkan segala-galanya kepada Allah.

"Ayah adalah payung dan segala-galanya bagi kami sekeluarga.''

Menurut Encik Hadi, kos pemindahan tersebut dan pembedahan jantung yang dijalani menelan sekitar $140,000.

"Alhamdulillah rezeki yang Allah beri dapat saya bayar kesemuanya. Ini berkat doa dan menjaga ibu saya dan ibu mentua saya,'' tambahnya sambil mengucapkan terima kasih kepada Dr Chew dan pasukannya serta para jururawat berdedikasi dan melayannya dengan baik.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.