Anak dua tahun diserang penyakit secara mendadak

HUJAN panas permainan hari, senang susah permainan hidup.

Pada usia semuda dua tahun, tiga pembedahaan terpaksa dijalaninya dalam tempoh hanya empat hari.

Begitulah cabaran yang dilalui Muhd Raffique Rayfal Mohd Nasharuddin, anak ketiga dari empat beradik, yang diserang penyakit yang dipanggil 'abses serebrum' secara mendadak.

Akibatnya, kanak-kanak yang sihat dan aktif itu kini terlantar di Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Universiti Nasional (NUH), dengan pelbagai macam tiub mengelilingi wajah dan tubuhnya yang comel.

Menurut ibunya, Cik Nor Ira Mardiana Samion, 29 tahun, segalanya berlaku dengan mengejut.

Perancangan keluarga warga Malaysia asal Pontian, Johor Bahru itu ke sini yang pada awalnya untuk berjalan-jalan terbantut begitu sahaja pada 3 Jun lalu.

"Di Pontian, Raffique ada muntah-muntah. Kita bawanya ke hospital tapi lepas doktor buat imbasan, mereka tak kesan apa-apa. Dua hari kemudian dia dah baik jadi kita pun masuk Singapura untuk berjalan-jalan," kata Cik Ira.

Namun, pada Sabtu, 3 Jun lalu, Muhd Raffique muntah-muntah sekali lagi, kali ini sehingga beliau terkena sawan.

Cik Ira bersama saudaranya di sini membawanya ke sebuah klinik namun sejurus doktor membuat pemeriksaan, beliau digegaskan ke hospital.

"Di hospital, mereka buat imbasan dan terus dia perlu menjalani pembedahan kerana terdapat darah beku di dalam otaknya," cerita Cik Ira.

Pembedahan membuang darah beku tersebut selamat dilalui Muhd Raffique tetapi deritanya tidak berakhir di situ. Keesokan harinya, doktor mendapati ada nanah pula di dalam otak beliau yang memerlukan satu lagi pembedahan.

Bak sudah jatuh ditimpa tangga, Jumaat lalu, tiub yang dipasangkan ke kepala beliau tersumbat, menyebabkan tekanan otaknya naik dan kepalanya bengkak.

Satu lagi pembedahan terpaksa dilakukan untuk menggantikan tiub tersebut.

Kini, walaupun berada dalam keadaan stabil dan sudah boleh membuka mata dan menggerakkan tangannya, beliau masih lemah dan pemulihannya kepada keadaan asal akan mengambil masa agak lama, kata Cik Ira.

Kini, meskipun bersyukur keadaan Muhd Raffique sudah beransur pulih dan semakin stabil, Cik Ira dan suaminya, Encik Mohd Nasharuddin Haji Kadir, dibelenggu satu lagi kerisauan - bil hospital yang melambung tinggi.

Difahamkan kos perubatan dan pembedahan Muhd Raffique sudah mencecah sekitar $43,000 - ini tidak termasuk kos bagi lagi tiga pembedahan yang perlu dijalani si comel itu dalam masa terdekat ini.

Menyedari kos perubatan yang tinggi itu, adik Cik Ira, Encik Amy Recha Pristifana Samion, 25 tahun, dan beberapa kenalan berkongsi kisah Muhd Raffique di media sosial meminta bantuan orang ramai dalam meringankan beban kewangan Cik Ira, seorang suri rumah, dan Encik Nasharuddin, seorang pembantu makmal.

Setakat ini, berkat sumbangan orang ramai, mereka sudah pun mengumpulkan lebih $57,000 dan RM30,000 ($9,800).

Dengan nada sebak, Cik Nor Ira berkata: "Kita tak sampai hati melihat keadaan dia (Muhd Raffique). Sebelum ini, dia aktif sangat dan sihat, tak ada tanda sakit, jadi kita pun tak sangka akan jadi macam ni."

Waktu Solat

Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.