Asatizah akur perlu dekati masyarakat sebar nilai sederhana

Pelbagai isu, termasuk soal adab, kesihatan, latihan semula, teknologi maklumat dan Negara Bijak, dibincangkan tiga pendakwah tempatan dalam Forum Isu Semasa anjuran Berita Harian baru-baru ini. ROSEBI MOHD SAH (rosebi@sph.com.sg) dan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg) melaporkan.

PENTING bagi asatizah mendekati masyarakat menjangkaui isu agama.

Dengan menonjolkan nilai-nilai universal seperti saling membantu dan sapa-menyapa, serta menawarkan nasihat secara praktikal, asatizah dapat mencetus rasa perpaduan lebih mesra.

Demikian antara rumusan tiga anggota panel Forum Ehwal Semasa anjuran Berita Harian sebagai respons kepada gesaan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli Masagos Mohamad mengenai kesederhanaan.

Panel itu terdiri daripada pendakwah bebas Ustaz Ahmad Dahri; guru Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah Ustaz Muhammad Fadli Ayub; dan anggota Lembaga Rayuan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) Ustazah Kalsom Isa, yang juga kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Perbincangan selama sejam setengah itu juga menyentuh tentang teknologi maklumat (IT), yang menurut mereka penting bagi masyarakat Melayu/Islam kuasai agar tidak ketinggalan dalam era sekarang. Isu lain termasuk peningkatan kemahiran dan amalan gaya hidup sihat.

Baru-baru ini, Encik Masagos menggesa asatizah supaya menonjolkan peri pentingnya kesederhanaan, yang dititikberatkan Islam, terutama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

Asatizah juga, kata beliau, dapat memainkan peranan aktif bukan sahaja dalam badan agama, malah pertubuhan akar umbi dan kumpulan kebajikan bukan Islam.

Ustaz Ahmad Dahri berkata orang Islam perlu selalu bertegur sapa dan menawarkan bantuan bukan sahaja kepada jiran tetangga Islam, bahkan bukan Islam.

Ini disebabkan Muslim memang dituntut oleh agama Islam agar menjadi jiran baik, ujarnya.

"Jika diminta tolong jagakan kucing kerana mereka mahu bercuti, kita harus bantu dan bekerjasama seperti kehidupan dalam satu kampung. Itulah nilai kita sebagai jiran," kata Ustaz Ahmad Dahri.

Ustaz Muhammad Fadli pula berkata semua orang harus dihormati tanpa mengira agama.

"Sesiapa sahaja yang mempunyai hati terbuka, minda intelektual, pasti akan dapat lihat keindahan agama kita.

"Jadilah orang 'lebih besar' (lebih bertolak ansur) demi menonjolkan nilai dalam apa jua situasi," ujarnya.

Menyentuh mengenai skim peningkatan diri yang banyak ditawarkan pemerintah dan syarikat swasta sekarang, Ustazah Kalsom berkata orang Islam seharusnya tidak berlengah untuk merebut dan memanfaatkan peluang sedemikian.

Beliau memberi contoh peluang meningkatkan kemahiran menerusi skim Kredit SkillsFuture bernilai $500.

"Walaupun saya guru agama, saya tetap meluangkan masa menghadiri kursus membuat kek kerana saya tidak tahu membuat kek lapis.

"Saya pergi kursus selama sehari kerana saya ingin melakukan sesuatu berdasarkan ilmu, jadi hasilnya juga baik," ujar Ustazah Kalsom.

Berkaitan penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit, Ustaz Ahmad Dahri berkata ada sesetengah orang Islam mempunyai salah tanggapan mengenai konsep tawakal dalam kesihatan.

"Ada orang berkata, apa nak disibukkan sangat soal kesihatan kerana jika makan itu dan ini, kita akan mati, dan kalau tak makan itu dan ini pun kita akan mati juga.

"Ini konsep tawakal tak bertempat dan perlu dibetulkan. Padahal kesihatan itu amat penting.

"Banyak ibadah tak sempurna kerana kesihatan tak ada. Solat duduk, dari segi fadilatnya dah kurang.

"Ibadah haji memerlukan 99 peratus tenaga. Jika kesihatan terjejas, mutu ibadah juga pasti terjejas. Justeru, sangat penting menjaga kesihatan," ujarnya.


"Satu ilmu yang kebanyakan kita kurang di sini adalah menghormati pendapat orang lain. Sebenarnya, kalau difikir hakikatnya, tidak ada masalah dalam perbedaan pendapat jika saling menghormati pendapat itu. Itu sebabnya Allah swt menjadikan siang dan malam, ada langit dan bumi, serta laut dan darat. Jadi perbezaan itu bukan satu kerosakan. Ia menjadi keindahan seperti bunga di taman - ada warna merah, biru, kuning, mata melihat cantik berwarna-warni. Kalau merah terus, tidak sama keindahannya."
- Ustaz Ahmad Dahri.

"Kita gunakan IT sepenuhnya untuk berhubung, berkongsi pendapat dan mengumpul bahan. IT, jika digunakan dengan betul, sesuatu yang sangat baik, malah boleh dianggap sebagai suatu yang wajib kerana jika tidak, kita akan ketinggalan."
- Ustaz Muhammad Fadli Ayub.

"Saya setuju dengan gesaan Menteri Masagos Zulkifli baru-baru ini agar asatizah turun padang menyumbang kebaikan buat semua. Saya sendiri, jika ada murid-murid atau anak ada masalah dalam pendidikan, moral atau masalah sosial, saya pastikan saya akan berjumpa ibu bapa murid itu untuk berbincang dan bersama menangani isu-isu tersebut."
- Ustazah Kalsom Isa.


Saksikan video perbincangan Forum Semasa di beritaharian.sg

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:28
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:15
Maghrib
6:53
Isyak
8:06
3 HR PSI: 58
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.