Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Asean gagal sepakat dalam forum pertahanan

Nov 05, 2015 | 08:09 AM



MENTERI Pertahanan Asean gagal menandatangani satu perisytiharan bersama pada akhir sebuah forum pertahanan serantau di Kuala Lumpur pada Rabu (4 Nov), berikutan perbezaan pendapat apakah isu pertikaian di Laut China Selatan harus dimasukkan ke dalam perisytiharan itu.


Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang berdiam mengenai isu itu apabila pemberita bertanya apakah sebab-sebab di sebalik pembatalan pada saat akhir majlis menandatangani perjanjian tersebut, mendedahkan kemudian dalam satu sidang akhbar bahawa para menteri itu semua bersetuju tidak akan menandatangani kerana mereka tidak dapat mencapai kesepakatan.


Bagaimanapun, beliau tidak sampai menyatakan isu Laut China Selatan sebagai sebab utamanya, dan menekankan ada banyak isu lain yang dipersetuju para menteri pertahanan itu, termasuk perkara berkaitan pengganasan dan bantuan kemanusiaan, lapor akhbar The Straits Times.


"Menyatakan dengan mutlak apa isu (yang menyebabkan pembatalan) itu dan siapa membantah akan hanya menjadi polemik dalam kalangan kita.


"Saya ingin menurunkan bahang kerana ada banyak saluran lain dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk membincangkan isu-isu yang tidak dapat dipersetujui kali ini dalam kalangan para menteri pertahanan," kata Datuk Seri Hishammuddin, sambil menambah bahawa menteri luar dan pemimpin tertinggi Asean dijadual bertemu pada minggu-minggu akan datang.


Ketegangan di Laut China Selatan memuncak sejak kapal perang Amerika Syarikat belayar dekat dua pulau kecil buatan China minggu lalu.


Amerika dan China mengambil bahagian dalam Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean-Plus (ADMM-Plus) itu sebagai rakan dialog badan serantau tersebut.


Dalam satu sidang akhbar pada Rabu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Ashton Carter, memberitahu pemberita bahawa semua negara yang beliau temui membangkitkan isu Laut China Selatan.


Encik Carter juga berkata beliau akan melawat sebuah kapal induk Amerika yang sedang menjalankan operasi rutin di Laut China Selatan pada Khamis.


Seorang lagi pegawai Amerika, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata Encik Carter akan disertai Datuk Seri Hishammuddin dalam lawatan itu.


Kementerian Pertahanan China, di laman webnya, menyalahkan kegagalan menandatangani satu perisytiharan bersama itu pada "negara-negara tertentu" di luar Asia Tenggara - secara meluas dipercayai merujuk kepada Amerika - yang katanya cuba "memaksa" memasukkan isi kandungan perisytiharan bersama itu.


Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, berkata para menteri itu mengakui terdapat perbezaan pendapat.


"Yang penting ialah kita pulang, renung semula, dan menghormati pandangan (yang dibangkitkan oleh negara lain) dan melihat bagaimana kita boleh mencari persefahaman," katanya.


Dr Ng berkata beliau menekankan pada ADMM itu bahawa Singapura menyokong pelaksanaan penuh dan berkesan Deklarasi mengenai Tatalaku Pihak di Laut China Selatan dan persetujuan awal berhubung Tatalaku Kelakuan.


Beliau juga mencadangkan agar diperluas Tatalaku bagi Pertembungan Tidak Dirancang di Laut bagi menyertakan kapal awam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >