Awas penipuan bungkusan oleh pegawai palsu luar negara; $4j lesap sejak Mac

POLIS memberi amaran kepada orang ramai mengenai sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai di luar negara untuk menipu mangsa supaya menghantar wang.

Mangsa akan menerima panggilan daripada sindiket itu, memberitahu mereka bahawa bungkusan mengandungi barang terlarang telah dihantar di bawah nama mereka.

Sejak Mac lalu, lebih 50 laporan polis telah diterima, dengan mangsa ditipu menghantar lebih $4 juta kepada sindiket tersebut.

"Sindiket penipuan itu hampir sama dengan kes penipuan yang dialami di Hong Kong dan China sejak pertengahan 2015," kata polis dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu (8 Jun).

Terdapat juga perubahan dalam modus operandi penipuan itu baru-baru ini, dengan penipu menyamar sebagai pegawai polis atau kakitangan syarikat perkhidmatan pengiriman tempatan seperti SingPost.

Penipuan versi tempatan itu melibatkan mangsa menerima panggilan daripada nombor tempatan olok-olok, yang bertujuan membuat ia lebih menyakinkan.

Apabila mangsa diberitahu bungkusan telah dihantar ke alamat tempatan mereka, mereka kemudiannya diminta membayar wang ke akaun bank di China atau membuat pemindahan wang melalui perbankan Internet ke akaun di Malaysia.

Kes-kes baru-baru ini menyaksikan mangsa pergi ke sebuah laman web di mana mereka diberitahu supaya memasukkan butiran peribadi dan maklumat bank mereka.

Polis menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikut apabila menerima panggilan daripada pihak tidak dikenali:

- Usah layan panggilan. Penipu mungkin menggunakan teknologi ID olok-olok pemanggil untuk menutup nombor telefon sebenar dan memaparkan nombor berbeza. Panggilan yang seolah-olah daripada nombor tempatan mungkin bukan dari Singapura. Jika anda menerima panggilan mencurigakan daripada nombor tempatan, hentikanya, tunggu lima minit, dan kemudian telefon semula nombor itu untuk memeriksa kesahihannya;

- Usah layan arahan agar menghantar atau memindahkan wang. Tiada agensi pemerintah akan meminta anda membuat pembayaran melalui panggilan telefon, terutama ke akaun bank pihak ketiga;

- Usah memberi maklumat peribadi dan butiran bank, baik di laman web mahupun kepada pemanggil melalui telefon. Maklumat peribadi dan butiran bank, seperti nama pengguna dan kata laluan akaun bank Internet, dan kod OTP dari token, berguna kepada penjenayah;

- Telefon rakan yang boleh dipercayai atau cakap dengan seorang saudara sebelum bertindak. Anda mungkin terlalu sedih dek emosi dan silap pertimbangan; dan

- Jika anda mempunyai maklumat berkaitan jenayah serupa itu atau jika anda curiga, hubungi hotline polis di 1800-255-0000, atau nombor 999 bagi bantuan segera polis.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 44
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.