Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bajet demi tampung perbelanjaan masa depan, imbangi keperluan sosial

* GST akan ditingkat dari 7% kepada 9% secara bertahap mulai tahun depan * Pakej Jaminan bernilai $6b yang diumumkan sebelum ini akan ditambah lagi $640j * $560j di bawah pakej bantuan segera bagi bantu isi rumah warga SG dengan perbelanjaan harian
Feb 19, 2022 | 05:30 AM



MENTERI Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengumumkan perubahan besar sistem cukai dalam usaha meningkatkan pendapatan bagi membiayai perbelanjaan masa hadapan serta menangani ketidaksamaan sosial.



Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dinaikkan dari 7 peratus kepada 9 peratus secara bertahap bermula tahun depan.



Golongan bergaji tinggi akan dikenakan cukai pendapatan peribadi lebih tinggi, manakala kadar cukai hartanah bagi perumahan, serta cukai bagi pemilik kereta mewah akan ditingkatkan.



Membentangkan perincian dalam Belanjawan Negara semalam, Encik Wong berkata GST akan dinaikkan dari 7 peratus kepada 8 peratus bermula 1 Januari 2023, dan seterusnya 8 peratus kepada 9 peratus pada 1 Januari 2024.



Selepas pertimbangan teliti, keputusan menunda pelaksanaan GST itu dibuat memandangkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir dan tekanan inflasi dirasai.



"Keperluan pendapatan kita amat mendesak tetapi saya juga faham keprihatinan rakyat Singapura mengenai kenaikan GST yang berlaku dalam keadaan harga sedang meningkat.



"Oleh itu, saya memutuskan menunda kenaikan GST ke 2023 dan meningkatkannya dalam dua tahap," jelas Encik Wong, ketika membentangkan Belanjawannya yang pertama sejak menjadi Menteri Kewangan tahun lalu.



Bagi mengimbangi kenaikan GST itu, Pakej Jaminan bernilai $6 bilion yang diumumkan sebelum ini akan menerima tambahan $640 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak $6.6 bilion.



Apabila dilaksanakan sepenuhnya pada 2024, GST itu akan meningkatkan pendapatan sebanyak $3.5 bilion bagi menampung perbelanjaan yang meningkat dalam penjagaan kesihatan, penjagaan warga emas dan perbelanjaan sosial.



"Saya ingin memberi jaminan kepada semua rakyat Singapura bahawa kita akan terus melaksanakan GST dengan cara Singapura yang unik, dengan ciri dan skim bagi membantu golongan kurang berkemampuan," ujarnya.



Namun, beliau akur kenaikan GST itu tidak mencukupi bagi menampung semua perbelanjaan.



Oleh itu, beliau mengumumkan beberapa perubahan kepada sistem cukai termasuk meningkatkan cukai pendapatan peribadi bagi mereka yang berpendapatan tinggi bermula tahun penilaian 2024. Ia akan menjejas golongan berpendapatan tinggi yang mempunyai pendapatan dikenakan cukai tahunan melebihi $500,000.



Pembeli kereta mewah akan dikenakan kadar cukai lebih tinggi bermula bulan ini, manakala kadar cukai hartanah bagi hartanah perumahan, termasuk hartanah pelaburan, akan ditingkatkan dari 2023.



Dalam usaha ke arah Singapura lebih hijau, kadar cukai karbon juga akan dinaikkan agar pelepasan gas rumah hijau berkurangan kepada bersih-sifar menjelang atau sekitar pertengahan abad ini.



"Apa yang kita boleh dan akan terus lakukan ialah memastikan kita mempunyai sistem (cukai) yang adil dan progresif di Singapura. Ini bermakna mereka yang mempunyai kelebihan menyumbang lebih banyak kepada cukai dari faedah diterima. Mereka yang kurang masih menyumbang pada jumlah lebih kecil dan mereka akan menerima lebih banyak faedah. Ini mencerminkan nilai dan siapa kita sebagai sebuah masyarakat. Ini adalah cara kita mengukuhkan kompak sosial. Ini adalah cara kita membiayai aspirasi bersama bagi hari esok," jelas Encik Wong.



Akur dengan tekanan inflasi yang dihadapi rakyat, pemerintah memperuntukkan $560 juta di bawah pakej bantuan segera bagi membantu isi rumah warga Singapura dengan perbelanjaan harian.



Di bawah Pakej Bantuan Keluarga Tambahan (HSP), rebat Baucar GST (GSTV) - U-Save akan digandakan baki tahun ini, dengan isi rumah HDB yang layak akan menerima rebat tambahan hingga $285, manakala baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $100 akan diberikan lagi tahun ini.



Pakej Bantuan Pekerjaan dan Perniagaan bernilai $500 juta juga disediakan bagi membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) yang masih terjejas dengan Covid-19.



Pemerintah menjangkakan kedudukan fiskal menyusuli Belanjawan tahun ini untuk kekal menghadapi defisit sebanyak $3 bilion. Ia akan mengeluarkan $6 bilion dari rizab lampau bagi membiayai kos kesihatan awam masa hadapan akibat Covid-19.



Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong menyeru agar rakyat menyokong Belanjawan itu, sambil menyatakan bahawa pemerintah memerlukan pendapatan yang mencukupi demi memenuhi matlamat jangka panjang negara ini.



"Belanjawan 2022 akan meletakkan asas bagi kewangan pemerintah yang kukuh dan mampan, pascapandemik dan seterusnya," katanya.



Meskipun berdepan dengan ketidaktentuan di masa hadapan, Encik Wong berkata setelah melalui Covid-19, Singapura tidak perlu gentar.



"Kita akan mengatasinya. Kita akan sentiasa menang, selagi kita terus berdiri teguh bersama satu sama lain, tanpa mengira bangsa, bahasa, atau agama. Kita akan melakar jalan baru ke hadapan bersama-sama. Kami akan lalui pandemik hari ini dan bangunkan Singapura lebih baik bagi hari esok.''



Belanjawan akan dibahaskan di Parlimen bermula 28 Februari ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >