Bateri dron dibiar dicas semalamam mungkin punca kebakaran

Satu kebakaran yang menjilat sebuah rumah di Parry Avenue pada awal pagi 9 Jun tahun lepas mungkin disebabkan oleh bateri dron yang dibiarkan dicas semalaman, mahkamah koroner diberitahu pada Khamis (11 Feb).

Menyifatkannya sebagai "kemalangan tragik", Koroner Negara Marvin Bay berkata kebakaran itu "tidak disengajakan" dan "berasal daripada elektrik".

Beliau mendapati tiada asas untuk mengesyaki perbuatan khianat.

Dalam masa dua jam, rumah ahli perniagaan Tang Hui Jen dekat Yio Chu Kang Road itu, di mana keluarga empat generasinya tinggal, hangus dimakan api.

Kebakaran itu meragut nyawa isteri beliau, Cik Angeline Tan, 64 tahun, dan rakan perniagaannya selama 30 tahun dari Australia, Encik Ian Johnson, 74 tahun, yang menjadi tetamu di rumah mereka.

Enam orang, termasuk dua anggota bomba, terhidu asap atau mengalami kecederaan berkaitan haba.

Kebakaran itu bermula pada kira-kira 3 pagi di ruang tamu rumah sebandung dua tingkat itu, di mana tiga bateri polimer lithium dron dibarkan dicas di atas lantai berkarpet di tepi sofa.

Bateri itu ialah bagi perkhidmatan dron berbilang pemutar, G4 Surveying Robot, yang Encik Tang dan Encik Johnson mahu import dan edar di Singapura.

Barangan elektrik lain, seperti set sofa elektrik dan kerusi urut, juga tidak sepenuhnya dimatikan. Terdapat juga soket sambungan kuasa berhampiran sofa itu yang berjalan di bawah permaidani ruang tamu dan digunakan untuk mengecas pelbagai barangan elektrik rumah.

Pembantu rumah Noemi Lozano Corpuz sedang tidur dalam sebuah bilik di tingkat pertama apabila beliau dikejutkan oleh bau asap.

Melihat kawasan sofa terbakar, beliau bergegas ke dua bilik tidur di tingkat dua untuk memberi amaran kepada lima penghuni lain, sebelum beliau melarikan diri melalui pintu belakang bersama bapa Encik Tang, Encik Tang Song Bak.

Enam daripada 10 penghuni memanjat keluar dari bilik tidur mereka sebelum Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tiba.

Encik Tang Hui Jen, yang pada mulanya percaya ia kebakaran kecil, bersembunyi di dalam tandas bilik tidur utama bersama isterinya dan menggunakan tuala basah untuk memudahkan pernafasan mereka.

Beliau kemudian mengisi baldi dalam tandas dengan air dan membuka pintu biliknya untuk memadamkan api, tetapi berhadapan dengan asap hitam tebal.

Dalam keadaan terkejut dan panik, Encik Tang memanjat keluar ke balkoni dan melompat dari ke anjung, mengalami kecederaan di kepala dan patah lengan.

Selepas melompat, baru beliau sedar isterinya masih di dalam tandas.

Mayat Encik Johnson ditemui di koridor bersebelahan bilik tidur tetamu, manakala Cik Tan di dalam tandas bilik tidur utama.

Mereka meninggal dunia akibat terbakar teruk.

Encik Johnson dilaporkan memberitahu Encik Tang bahawa selamat untuk membiarkan bateri dicas semalaman kerana ia mempunyai ciri-ciri keselamatan tambahan.

Encik Johnson, pengarah bersama dan pakar teknikal syarikat mereka, telah menghadiri kursus mengendalikan drone di Jerman.

Bagaimanapun, Encik Bay memberi amaran supaya jangan membiar bateri dron atau peranti serupa dicas semalaman tanpa pengawasan sepenuhnya.

"Mengecas bateri dron... perlu dilakukan hanya dengan penyeliaan seseorang yang boleh campur tangan sekiranya berlaku sesuatu kecemasan, seperti tindak balas buruk apabila bateri dicaj caj berlebihan atau rosak," katanya.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 49
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.