Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Beberapa AP saran perbaiki budaya kerja syarikat

Nov 08, 2017 | 05:30 AM



BEBERAPA Anggota Parlimen (AP) telah memberikan saranan bagi memperbaiki isu budaya kerja yang telah berakar umbi dalam syarikat pengendali pengangkutan SMRT di Parlimen semalam.



Ini termasuk menetapkan ganjaran pihak pengurusan SMRT dengan kekerapan khidmat kereta api yang dikendalikan mereka secara keseluruhan.



Ada juga AP yang berpendapat bahawa harus ada budaya di mana kakitangan syarikat berasa selesa memaklumkan kepada pihak pengurusan tentang kesilapan yang wujud dalam syarikat itu.



Sekitar 15 AP mengemukakan soalan selepas Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, membentangkan Kenyataan Menteri berhubung kejadian kebanjiran dalam terowong MRT bulan lalu di Parlimen.



Menurut Encik Christopher De Souza (GRC Holland-Bukit Timah), SMRT memiliki penguasaan monopoli ke atas Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Timur-Barat (EWL), tanpa pesaing.



Ini bermakna lebih banyak tenaga korporat sepatutnya ditumpukan kepada kekerapan operasi, tetapi kesilapan penyenggaraan masih berlaku.



"SMRT mempunyai monopoli ke atas laluan (kereta api), mendapat subsidi pembayar cukai dan memiliki pangkalan pelanggan yang terjamin, tetapi masih terdapat kesilapan penyenggaraan.



"Sebagai institusi korporat yang menyediakan khidmat penting, kita tidak boleh menerima sikap yang mudah berpuas hati," ujarnya.



Oleh itu, beliau menyarankan beberapa langkah yang diharap dapat dipertimbangkan Kementerian Pengangkutan.



Selain menetapkan ganjaran pihak pengurusan SMRT dengan kekerapan khidmat kereta api, Encik De Souza berkata pekerja juga harus diiktiraf apabila setiap detik penting dicapai seperti apabila tiada kecederaan di tempat kerja dilaporkan selepas 500 jam dan sebagainya.



Tambahnya, SMRT juga harus bersifat lebih proaktif dan bukan reaktif dalam menyelesaikan masalah.



Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong) juga menarik perhatian mengenai hubungan antara kakitangan dalam syarikat pengendali pengangkutan tersebut.



"Saya rasa adalah amat penting kakitangan berasa selesa memberitahu pihak pengurusan tentang masalah yang wujud, khususnya jika ia tidak dapat diselesaikan di peringkat mereka.



"Pihak pengurusan juga harus terus mempunyai sifat ingin tahu tentang masalah itu dan cuba menyelesaikannya, daripada memiliki budaya memalukan dan menyalahkan pihak lain," katanya.



Beliau turut menyarankan penggunaan teknologi bagi membantu pegawai sumber manusia dan pekerja mengenal pasti kelemahan dalam proses kerja mereka.



Encik Sitoh Yih Pin (SMC Potong Pasir) pula bertanya sama ada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) boleh bekerjasama dengan SMRT untuk menyumber luar urusannya yang bukan utama (non-core business) agar pihak pengurusan SMRT dapat memberi tumpuan kepada kecekapan dan urusan utamanya.



Mengulas, Encik Khaw berkata setiap pertubuhan harus jelas dengan kecekapan utama mereka dan ini tidak boleh disumber luar.



Namun dengan kekurangan masa dan banyak urusan yang harus ditangani, antara cara menanganinya ialah dengan menyumber luar urusan bukan utama syarikat itu.



"Dengan itu, pilihan kontraktor adalah amat penting dan mereka harus memastikan mereka mendapatkan syarikat dan vendor yang boleh dipercayai," ujar Encik Khaw sambil menambah beliau dimaklumkan bahawa pengerusi SMRT sedang mempertimbangkan strategi itu dengan serius.




"Sebab itulah pendedahan bahawa sekumpulan kecil pekerja yang memalsukan rekod ini... bukan budaya Singapura. Kita dikenali secara positif ke mana-mana sahaja kita pergi...Warga Singapura mempunyai 'jenama' tertentu. Kita jujur dan tunaikan janji kita. Namun, terdapat sekumpulan kecil individu yang melakukan perkara bodoh, ini aneh sekali."
- Menteri Pengangkutan Encik Khaw Boon Wan semasa mengulas pertanyaan susulan Cik Cheng Li Hui (GRC Tampines) tentang budaya kerja SMRT.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >