Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DARI MAHKAMAH

Bekas pelayan dijel, denda kerana cederakan wanita hingga buta dengan kasut tumit tinggi

Nov 11, 2017 | 05:30 AM



SEORANG bekas pelayan kelab malam yang menyebabkan mata kiri rakannya buta akibat dicederakan dengan kasut tumitnya setinggi 14.5 sentimeter, dihukum penjara 16 bulan semalam.



Siti Zahara Afifi Abdul Karim, 28 tahun, turut diarahkan agar membayar pampasan sebanyak $5,923 atas perbuatannya ke atas Cik Nur Lena Rahmat, 30 tahun, yang kini hilang penglihatan.



Siti Zahara, ibu tiga anak, mengaku menyebabkan kecederaan teruk kepada pelayan sambilan berusia 29 tahun itu dengan bertindak ganas.



Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Mathew Joseph menyatakan bahawa Siti Zahara telah menyerang bahagian sensitif dan terdedah tubuh Cik Nur Lena - muka dan mata - dengan menendang tumit kasutnya itu sebanyak tiga kali pada wajah mangsa.



"Ketika kemarahan memuncak dan tidak terkawal, anda telah menukar fungsi tumit kasut yang merupakan aksesori fesyen sebagai senjata maut. Ini merupakan perbuatan yang tidak dapat diterima dan tidak berperikemanusiaan,'' kata Encik Joseph.



Siti Zahara hanya berhenti menyerang apabila mangsa memekik, "Saya tidak dapat lihat, saya tidak dapat lihat".



Encik Joseph memberitahu Siti Zahara bahawa dia sangat bernasib baik kerana tidak disabitkan dengan kesalahan menyebabkan kecederaan parah yang membolehkan dia dihukum penjara maksimum 15 tahun.



Dia sebaliknya dituduh melakukan tindakan terburu-buru yang membawa hukuman maksimum penjara empat tahun dan denda $10,000.



Kejadian itu berlaku pada 3 pagi di Boutique Club One KTV di Jalan Sultan pada 8 Oktober 2015.



Mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua wanita itu bertengkar mengenai wang yang dibayar untuk pendakap gigi adik perempuan Siti Zahara.



Adik Siti Zahara dikatakan mempunyai hubungan dengan kawan lelaki mangsa, yang mahu membayar pendakap itu walaupun mereka telah putus hubungan. Mangsa telah mendesak kawan lelakinya agar tidak berbuat demikian.



Ketika Siti Zahara dan Cik Nur Lena terjatuh ke lantai, beberapa orang yang berada di sekeliling cuba meleraikan mereka, tetapi Siti Zahara terus menendang mangsa.



Cik Nur Lena berasa tumit kasut Siti Zaharah mengena dua kali kelopak matanya sebelum menusuk matanya, lantas menyebabkan bebola matanya terkeluar.



Cik Nur Lena dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng untuk rawatan di mana mata kirinya dikeluarkan dan implan dimasukkan.



Siti Zahara, yang diwakili oleh Encik Wilbur Lim daripada Skim Bantuan Guaman Jenayah, dibenarkan mula menjalani hukumannya pada 23 November.



Jaminan sebanyak $ 10,000 dibenarkan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >