Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belasungkawa Lee Hsien Yang untuk 'papa'

Mar 29, 2015 | 05:17 PM



Presiden, Rakan-rakan


Singapura telah kehilangan seorang bapa kepada negara kita. Bagi keluarga kami, kami telah kehilangan bapa yang juga seorang datuk yang kami sayangi. Kami berasa sedih atas kehilangannya.


Saya dilahirkan pada 1957. Sepanjang ingatan saya, Papa ialah seorang tokoh terkenal. Semasa saya kecil, saya hanya samar-samar tahu bahawa bapa saya ialah "orang besar" atau "orang kenamaan". Semua kanak-kanak tentunya fikir bahawa bapa mereka ialah seseorang yang istimewa; saya tidak ingat bila saya mula menyedari bahawa beliau bukan sahaja bapa saya yang istimewa dan bukan sebarang "orang besar" biasa, tetapi beliau ialah "orang besar" yang luar biasa.


Papa asyik membuat kerja-kerja beliau semasa saya kecil dahulu. Pada September 1998, apabila beliau beri saya dan Fern buku memoir beliau, "The Singapore Story", beliau menulis satu nota dengan sedikit nada menyesal:


"Kepada Yang + Fern,


Anda membesar ketika saya sibuk ke sana sini seperti yang saya gambarkan di dalam buku ini."


Mungkin dalam keadaan yang berlainan, beliau boleh menjadi seorang peniaga dan usahawan yang sangat berjaya tetapi Papa memilih untuk berbakti kepada rakyat Singapura dan membina masa depan yang lebih baik untuk semua orang. Papa mahu memastikan yang ketiga-tiga orang anak beliau melalui "zaman kanak-kanak yang normal". Beliau tidak mahu kami membesar dengan mempunyai perasaan yang kami ini mempunyai hak-hak istimewa.


Sebagai seorang remaja di sekolah menengah, saya ingin membuktikan yang saya boleh berdikari. Kadang-kadang saya akan menaiki bas awam. Papa tidak membantah, tetapi kasihan pegawai keselamatan saya yang terpaksa mengikuti saya menaiki bas. Ketika saya menuntut di maktab rendah dan gemar melakukan kegiatan luar, pegawai keselamatan saya mengekori saya berjalan menjelajah mengelilingi Pulau Ubin, Pulau Tekong dan berkanu mengelilingi Singapura. Prinsip Papa ialah memastikan seberapa boleh saya mempunyai zaman kanak-kanak yang normal walaupun saya kerap melanggar peraturan keselamatan!


Percutian bersama keluarga merupakan masa-masa yang menggembirakan kerana kita dapat berjumpa Papa dengan lebih kerap. Kami tidak pergi bercuti ke tempat yang jauh, mewah atau eksotik: Tetapi hanya ke banglo-banglo pemerintah di Bukit Fraser, Cameron Highlands, dan selepas kemerdekaan pada 1965 ke Changi Cottage, sebuah banglo kecil tepi laut yang banyak menyimpan kenangan berharga bagi saya.


Permainan golf pada masa itu merupakan kegiatan riadah utama Papa, jadi bermain golf bukan hanya pada masa percutian, tetapi juga pada waktu-waktu selepas bekerja. Padang golf sembilan lubang di perkarangan Istana menyediakan kawasan yang mencukupi untuk kami anak-anak mencari pengalaman baru ketika beliau bermain golf. Kedua-dua saya dan Loong dihantar ke latihan bermain golf. Kami mempelajari bagaimana untuk membuat pukulan jauh bola golf dari kotak ti, tetapi tidak seorang pun daripada kami yang benar-benar berminat dengan golf, dan berhenti bermain apabila dewasa.


Akhirnya, Papa juga berhenti bermain golf selepas dipujuk Ling, dan sebagai senaman, beliau berlari-lari anak, berjalan, mengayuh basikal statik dan berenang. Beliau telah membaca mengenai manfaat senaman aerobik, menelitinya dan menerima bukti-bukti yang dipaparkan, dan kemudiannya beliau mengubah kebiasaan beliau. Papa sememangnya begitu: tegas dengan keyakinannya, tetapi juga cukup berfikiran terbuka untuk menerima bukti-bukti baru dan perubahan, walaupun jika beliau perlu mengorbankan sesuatu yang beliau suka. Seperti perkara-perkara lain yang beliau ingin lakukan, Papa tetap berdisiplin dan gigih bersenam secara tetap sehingga ke akhir-akhir hayatnya.


Pada Januari 1973 ketika saya berusia 15 tahun, saya dan Ling menyertai Papa dan Mama pergi menziarahi Loong yang ketika itu di universiti di Cambridge. Ia merupakan percutian keluarga pertama kami yang mana kami pergi ke tempat yang begitu jauh. Semasa percutian itu, Papa dan Mama membawa kami sekeluarga ke Stratford upon Avon, tempat kelahiran Shakespeare. Kami menonton penerbitan Royal Shakespeare Company, Coriolanus, dan mengunjungi tapak-tapak Shakespeare di Stratford. Pada masa itu, saya menganggap Mamalah yang menurutkan minat mendalamnya terhadap sastera Shakespeare dan cuba mendidik kami masa percutian. Hanya beberapa tahun kemudian apabila Papa menulis memoir beliau barulah kami sedar maksud disebalik lawatan ini kepada ibu bapa saya. Mereka telah berkahwin secara rahsia di Stratford upon Avon pada Disember 1947.


Apabila saya dan Fern mendirikan rumahtangga pada 1981, Papa sangat inginkan kami tinggal bersama mereka di Oxley Road. Mama pula, mungkin kerana beliau sendiri mempunyai kesukaran untuk tinggal bersama mentuanya sebagai pengantin baru, dan Fern juga, berasa raguragu, jadi selepas berumahtangga, saya dan Fern berpindah ke rumah kami sendiri.


Apabila isteri pertama Loong, mendiang Ming Yang, meninggal dunia pada lewat 1982, beliau telah meninggalkan dua anak kecil dalam jagaan Loong, seluruh keluarga terasa kesan tragedi tersebut. Saya dan Fern ingin membantu keluarga agar terus bersatu dan mewujudkan suasana gembira untuk terus bersama menghadapi susah senang.


Walaupun semasa meningkat dewasa, kami tidak meraikan hari lahir kami semua, termasuk hari lahir Papa dan Mama, kami mula mengundang anggota-anggota keluarga ke rumah kami untuk meraikan hari lahir Papa dan Mama. Saya akan masak makanan yang sederhana. Pada masa itu, anggota keluarga kami adalah termasuk bapa kepada bapa saya, Kung, Papa dan Mama, Ling, Loong dan anak-anaknya. Papa gemar memakan stik dan pencuci mulut Peranakan yang manis.


Lama kelamaan, keluarga kami menjadi lebih besar. Cucu-cucu pula mempunyai pandangan mereka sendiri dan bersikap terus terang dan kerap bersedia untuk berdebat dengan Papa mengenai isu-isu harian. Saya masih ingat pada satu jamuan malam menyambut hari lahir di mana Shengwu berdebat dengan Ye Ye nya sehingga lewat malam, lama selepas kami semua selesai makan malam, kerana kedua-dua pihak mahu memastikan pihak lagi satu memahami perspektif dan sudut pandangan mereka!


Walaupun majlis-majlis awam bagi meraikan hari lahir utama Papa telah diadakan, majlis-majlis kecil yang diadakan untuk keluarga adalah amat menggembirakan beliau dan Mama. Mereka menunggu berbulan sebelumnya dan, setelah itu, mereka mengenangnya kembali dengan penuh bahagia sehingga beberapa bulan selepas itu, dan ini menjadi sebahagian daripada amalan kami setiap tahun.


Kelahiran cucu-cucu mereka juga adalah sumber kebahagiaan bagi Papa dan Mama. Mama memang bersikap tradisional kerana beliau amat gembira apabila saya dan Fern mendapat seorang demi seorang anak lelaki. Tetapi saya fikir Papa akan berasa bahagia juga sekiranya kami mendapat tiga anak perempuan.


Semasa cucu-cucu beliau kecil, Papa suka cucu-cucu beliau bermain-main di keliling beliau sedang beliau bersenam selepas waktu kerja di petang hari. Pada hujung minggu pula, beliau dan Mama sering membawa mereka berjalan-jalan - ke taman haiwan, taman burung, pusat sains dan lain-lain tempat yang disukai banyak keluarga untuk bersiar-siar.


Anak lelaki bongsu saya, Shaowu, dilahirkan lama selepas cucu-cucu yang lain, lama setelah Papa dan Mama berhenti berharap menimang cucu lagi. Papa sudah berusia tujuh puluhan tahun, dan kurang aktif dalam kehidupan masyarakat. Jadi, beliau dan Mama mengambil peluang ini untuk bergembira dengan cucu terakhir mereka ini.


Ramai orang mengetahui betapa beruntungnya rakyat Singapura kerana meraih manfaat daripada sumbangan bapa saya kepada pembangunan negara kita. Saya tahu, membesar sebagai anak beliau, saya juga amat beruntung kerana dapat menyaksikan apa maknanya menjadi seorang lelaki yang baik, seorang suami yang baik dan seorang bapa serta datuk yang baik.


Kepada Singapura dan rakyat Singapura, Papa ialah PM (Perdana Menteri), SM (Menteri Kanan), MM (Menteri Pembimbing). Tetapi apapun jawatan beliau, beliau tetap LKY. Walaupun setelah beliau tidak lagi menyandang jawatan Menteri Pembimbing, ramai akan berasa janggal untuk memanggil beliau selain daripada huruf-huruf singkatan jawatan beliau. Tetapi, kepada cucu-cucu beliau, beliau tetap merupakan Ye Ye, dan bagi saya dan Fern, beliau ialah Papa, pada setiap masa. Kami akan amat merindui beliau.


Sepanjang minggu ini, saya dan keluarga telah dibanjiri dengan ucapan-ucapan penghargaan terhadap kehidupan Papa, ada yang menceritakan kenangan yang menyentuh jiwa mengenai interaksi mereka dengan Papa. Walaupun semasa hidup, beliau mengasingkan kehidupan peribadi dan kehidupan sebagai seorang tokoh pemimpin beliau, serta melindungi Mama dan cucu-cucu beliau daripada sorotan media, tetapi apabila beliau meninggal dunia, kedua-dua aspek kehidupan beliau ini telah menjadi satu, sambil kami sama-sama bersedih kerana kehilangan beliau.


Kami telah dibanjiri ucapan-ucapan yang melahirkan kesedihan dan juga perasaan kasih sayang. Kami amat tersentuh yang mana tidak dapat kami gambarkan dengan kata-kata dengan ramai rakyat Singapura yang tidak menghiraukan keadaan cuaca untuk memberi penghormatan terakhir mereka pada setiap waktu, siang dan malam. Tua dan muda, berjalan kaki atau bertongkat, atau berkerusi roda, anda datang untuk memberi penghormatan terakhir anda, untuk menandatangani buku takziah dan untuk menulis kata-kata ucapan. Anda telah memuat naik kata-kata penghargaan dan puisi yang menyentuh hati dalam talian dan anda menunggu dengan penuh kesabaran untuk memberi penghormatan apabila kenderaan jenazah beliau yang berlalu di jalan raya.


Terimalah ucapan terima kasih yang ikhlas daripada keluarga saya. Kami tahu bahawa kehilangan yang kami alami adalah kehilangan anda juga, dan ia sangat dirasai. Kami amat menghargai kerana begitu ramai orang telah datang untuk melahirkan perasaan kasih sayang, hormat dan terima kasih anda kepada - bapa saya yang sangat luar biasa, seorang bapa yang kami kongsi - bersama Singapura.


Selamat berpisah Papa.


- Encik Lee Hsien Yang, 58 tahun, adalah anak bongsu mendiang Lee Kuan Yew.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >