Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Beralih sedia makanan bagi pelanggan korporat, pekerja lapangan terbang

Jul 07, 2021 | 05:30 AM



WALAU industri penerbangan masih dibelenggu ketidaktentuan, cef sous (tukang masak kedua) seperti Encik Mohamed Hanafi Adnan dan pengurus operasi seperti Encik Mohamad Faraz Magnus kini semakin sibuk mengendalikan tempahan bagi pelanggan tempatan berbanding menyediakan makanan bagi penumpang pesawat dahulu.



Kedua-dua pekerja firma pengendalian urusan darat penerbangan, dnata kini lebih sibuk menyediakan makanan untuk tempahan korporat serta menyokong inisiatif baru dnata bagi menyumbang kepada pekerja di lapangan terbang.



Salah satu inisiatif yang dimulakan dnata, adalah sebuah van makanan di bawah jenama d-lish yang menjual makanan bertaraf sama dengan hidangan dalam pesawat kepada sekitar 1,000 pekerja lapangan terbang pada setiap empat syif waktu makan.



Ini memandangkan beberapa kantin makanan di kawasan tersebut ditutup ekoran langkah diperketat Covid-19 dan ia merangkumi pekerja perkhidmatan darat, pekerja logistik dan kargo dan pekerja keselamatan di kawasan lapangan terbang.



Bagi Encik Mohamad Hanafi, yang sudah bekerja di dnata sebagai cef sous sejak 2019, beliau berkata:



"Meskipun keadaan amat mencabar sekarang memandangkan kita tidak dapat menjangka bagaimana kita dapat mengekalkan kedudukan kami dalam pekerjaan ini, ia membawa sedikit kelegaan memandangkan firma kami sedang menerokai cara perniagaan yang baru.



"Saya rasa bangga menawarkan khidmat kepada pekerja sesama industri ini namun, sekarang pekerjaan saya semakin sukar kerana bilangan pekerja kami tidak seramai dahulu," kata lulusan Shatec itu berusia 33 tahun.



Terdapat tiga van makanan yang membawa sekitar 300 hingga 500 hidangan ke beberapa kawasan tertentu di landasan pesawat serta kawasan kargo dalam empat syif iaitu pada waktu sarapan, makan tengah hari, makan malam dan lewat malam.



D-lish menawarkan pelbagai jenis jamuan tempatan seperti nasi lemak, nasi sambal goreng, nasi briyani dan sebagainya pada harga antara $2 hingga $3.



Selain menyediakan makanan segar untuk van itu, tukang masak di dnata juga sibuk menyediakan makanan untuk tempahan korporat.



Teman Encik Mohamad Hanafi, cef penyediaan dan perhiasan makanan Encik Melvin Ho pula berkata:



"Antara cabaran yang dihadapi cef dnata sekarang adalah keperluan menyediakan lebih banyak makanan segar untuk pelanggan korporat berbanding makanan beku bagi pesawat, yang sebaliknya boleh disediakan 24 jam sebelum keberangkatan, sambil bertugas dalam bilangan pekerja yang lebih kecil."



Menurut Pengarah Pengurusan dnata, Encik Musdalifa Abdullah, van makanan itu merupakan salah satu cara dnata dapat pelbagaikan perniagaan untuk menanggung kerugian yang dialami firma itu semasa pandemik ini.



Beliau menjelaskan bahawa dnata mencatatkan kemerosotan hingga 90 peratus apabila wabak itu mula merebak di seluruh dunia.



"Sebelum ini kami menyediakan hampir 17,000 makanan setiap hari bagi tempahan pesawat namun pada peringkat awal pandemik ini ia tiba-tiba menjunam kepada hanya 1,000 makanan sahaja sehari," katanya.



Malah, Ogos lalu, firma itu juga telah menjalankan latihan perhentian pekerjaan itu bagi beberapa stafnya.



Namun, dengan memanfaatkan bantuan oleh pemerintah seperti Skim Bantuan Pekerjaan, Encik Musdaliffa menerangkan bahawa dnata telah berusaha dengan gigih memastikan ia mengekalkan pekerjanya dengan menerokai pelbagai jenis perkhidmatan bagi pelanggan di sini.



Tahun lalu, dnata mengendalikan 32,000 tempahan makanan sehari bagi pekerja migran di dormitori semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dan kini dnata juga menyediakan sekitar 3,000 makanan kepada pekerja di terminal lapangan terbang yang terjejas ekoran langkah diperketat di situ.



Menyusuli itu, pengurus operasi Encik Mohamad Faraz berkata:



"Keadaan sudah banyak berubah di sini dan kami dikerah untuk mengendalikan kedua-dua tempahan bagi pesawat - yang kini hanya mengambil kira-kira 2,500 tempahan makanan sehari - dan tempahan korporat tempatan.



"Kini kami sudah bangkit ke tahap kapasiti sekitar 40 peratus berbanding tahap sebelum Covid-19 dan mudah-mudahan ia dapat bertambah pulih apabila sempadan dibuka semula," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >