Biasiswa bola sepak bagi belia di Buangkok

Intan: Inisiatif tertumpu pada belia berisiko, keluarga susah sebagai wadah raih motivasi

BIASISWA latihan bola sepak bakal ditawarkan kepada golongan belia berisiko dan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan di kejiranan Buangkok sekitar September ini.

Diusahakan Ark Sports Management Pte Ltd sebagai pengurus Hab Sukan Buangkok dan Akademi Bola Sepak First Kick dengan kerjasama GRC Ang Mo Kio dan Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Jalan Kayu, ia bertujuan membakar semangat belia memerlukan menerusi sukan bola sepak.

Mereka yang terpilih kelak boleh memanfaatkan kelas bola sepak percuma di gelanggang futsal Hab Sukan Buangkok yang dibuka semula oleh Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Dr Intan Azura Mokhtar semalam.

Buat masa ini, rundingan mengenai kriteria penerima biasiswa sedang dilakukan Pengarah Ark Sports Management, Encik Jimmy Beh, bersama pemimpin akar umbi di bawah kejiranan jagaan Dr Intan.

Mengulas mengenai langkah mengenalkan biasiswa tersebut, Dr Intan berkata:

"Biasiswa yang meliputi kelas bola sepak percuma buat anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan ini baik bagi membantu mereka meluangkan masa dengan lebih berkesan lagi.

"Jika dilihat demografi penduduk di kejiranan Buangkok ini, kebanyakan daripada mereka merupakan keluarga muda dengan anak-anak yang masih kecil atau mencecah usia remaja.

"Harapan saya menerusi bola sepak juga, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan dengan kaum bapa juga akan dilibatkan sama dalam pembangunan anak-anak."

Encik Beh, yang juga mengendalikan Akademi Bola Sepak First Kick dan berharap dapat melancarkan program biasiswa bola sepak ini pada cuti sekolah September ini, pula menambah:

"Ruang futsal kami di cawangan Upper Thomson sudah bekerjasama dengan Perkhidmatan Masyarakat New Hope yang mengendalikan flat tumpangan buat keluarga memerlukan. Sambutannya memang baik.

"Mudah-mudahan, program biasiswa bola sepak di Buangkok ini juga meraih respons yang menggalakkan. Kami komited dalam menjadikan bola sepak sebagai wadah belia meraih motivasi agar berjaya dalam kehidupan. "

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.