Bimbang tentang pertambahan kematian di tempat kerja

BILANGAN kematian di tempat kerja tahun ini telah mencecah 32, enam lebih banyak daripada tempoh sama tahun lalu.

Yang terkini berlaku pada Selasa (24 Mei), membawa kepada empat kematian selepas hukuman lebih berat bagi majikan yang mempunyai masalah keselamatan berkuat kuasa dua minggu lalu.

Dalam kes terbaru itu, seorang lelaki berusia 50-an tahun meninggal dunia di tempat kerjanya di Kee Seng Street, sehari selepas seorang pekerja binaan berusia 23 tahun terbunuh akibat keluli kekuda terjatuh.

Pertambahan kes kematian di tempat kerja mendorong pihak berkuasa menaikkan hukuman bagi pesalah, tetapi pemerhati berkata banyak lagi perlu dilakukan untuk meningkatkan amalan kerja selamat dan mencegah kematian.

"Kami amat bimbang tentang pertambahan kes kematian baru-baru ini," kata Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Sam Tan, lapor akhbar The Straits Times pada Rabu (25 Mei).

"Kami akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap majikan tidak bertanggungjawab dan akan mendakwa mereka yang didapati bersalah bagi kemalangan yang berlaku.

"Kami menyeru majikan dan pekerja supaya bekerja bersama untuk mengambil segala langkah bagi mencegah kemalangan di tempat kerja."

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengumumkan pada 12 Mei bahawa ia akan meningkatkan tempoh minimum bagi syarikat yang diarah menghentikan kerja daripada dua kepada tiga minggu.

Syarikat juga menghadapi risiko tidak boleh mendapatkan pekerja asing baru hingga mereka telah menyelesaikan isu-isu keselamatan.

Persatuan Kontraktor Singapura membidas langkah itu seminggu kemudian, dengan berkata hukuman lebih berat akan memburukkan "keadaan teruk bagi mencapai tarikh akhir dan penalti kewangan" syarikat tidak bertanggungjawab.

Dua Anggota Parlimen (AP) buruh berkata kejadian kematian di tempat kerja itu adalah "trend membimbangkan", tetapi langkah-langkah tegas sahaja tidak akan berkesan.

AP GRC West Coast, Encik Patrick Tay, yang mempengerusikan Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Tenaga Manusia, berkata kesilapan manusia penyebab utama kemalangan maut itu.

"Ia boleh jadi setakat kelalaian atau keletihan, atau ia mungkin akibat kecuaian dan sikap berpuas hati," katanya.

AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Zainal Sapari, yang juga timbalan pengerusi GPC itu, menggesa agar mutu latihan bagi pegawai keselamatan dipertingkat.

"Walaupun anda boleh melahirkan budaya keselamatan dalam kalangan pekerja anda sendiri, anda juga perlu memastikan subkontraktor anda terlibat dalam sistem, struktur dan proses yang menggalak keselamatan kerja," katanya.

Presiden Institusi Pegawai Keselamatan Singapura, Encik Bernard Soh, berkata walaupun pengurusan syarikat komited meningkatkan keselamatan, ini sering ini tidak dirasakan sama oleh segenap lapisan pekerja.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 26
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.