'Buka' koridor buat tetangga

BUKAN sekali dua.

Malah, sejak empat tahun lalu, keluarga Encik Muhammad Helmi Azman, memilih sehari untuk beriftar bersama jiran tetangga dan rakan sekerjanya - termasuk yang bukan Muslim - apabila tiba bulan Ramadan.

Yang menariknya, majlis iftar bersama itu diadakan di koridor dekat lobi lif tingkat 14, Blok 591A, Montreal Link di Sembawang.

Dalam majlis iftar yang diadakan kelmarin, sajian yang dihidangkan termasuk nasi ayam dan pencuci mulut.

"Memang sudah menjadi amalan kami berbuka sama dengan jiran tetangga yang bukan Muslim juga.

"Bagi saya, ia satu cara mengenali lebih rapat jiran kami," kata bapa tiga anak berusia 33 tahun itu.

Untuk tahun keempat ini, jururawat di salah sebuah institusi kesihatan itu telah mempelawa beberapa rakan sekerjanya termasuk yang berasal dari Filipina.

Seorang rakannya itu, Encik Espenilla Jervie, 31 tahun, berkata ini kali pertama beliau mendapat jemputan berbuka sama dengan masyarakat Muslim di sini.

"Saya rasakan inilah cara saya mengenali budaya masyarakat Muslim dengan lebih baik lagi," katanya yang juga seorang jururawat.

Seperti Encik Jervie, seorang jiran Encik Helmi, Cik Irene Chung Shiuh Huei, 36 tahun, juga mengambil kesempatan sempena majlis beriftar itu bagi mengetahui lebih banyak maklumat tentang Ramadan dan amalan di bulan suci ini.

Kakitangan di sebuah gereja setempat itu yang berasal dari Sabah, Malaysia, telah menjadi jiran Encik Helmi sejak dua tahun lalu.

"Semasa di Sabah, jiran tetangga saya merupakan masyarakat bukan Muslim. Malah, saya juga tidak pernah menyertai majlis berbuka di Sabah. Bagus juga saya dipelawa Helmi untuk ke majlis ini.

"Dapat saya timba lebih ilmu tentang pengertian Ramadan," kata wanita yang sudah berumah tangga itu lagi dan tinggal di lantai yang sama blok tersebut.

Dianggarkan sekitar 20 kenalan beliau telah menghadiri majlis iftar bersama jiran itu.

Seorang jirannya, Encik Muhammad Hafiz Mohamed Yusoff, berkata acara itu memberi peluang bukan sahaja untuk beliau dan isteri mengenali jiran dan kenalan dengan lebih rapat, malah anaknya dapat bermesra dengan anak jiran tetangga.

"Baik juga ada acara sebegini. Sekurang-kurangnya anak kami dapat bergaul dengan kanak-kanak lain yang sebaya di blok tersebut.

"Lagipun ia memberi peluang kepada jiran tetangga agar saling mengenali anak-anak kami," katanya.

Waktu Solat

Subuh
5:39
Syuruk
7:03
Zuhur
1:10
Asar
4:35
Maghrib
7:14
Isyak
8:29
3 HR PSI: 68
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,209.200 -10.330