Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Cacat penglihatan bukan halangan cari pendapatan

Sep 18, 2016 | 05:30 AM



RUANG kecil di sudut kolong Blok 539, Bedok North Street 3, menjadi tempat Encik Ismail Abdullah mencari rezeki bagi menyara kehidupan beliau dan isterinya.



Berbekalkan beberapa botol minyak urut pelbagai kegunaan serta perabot seperti kerusi dan kipas angin, Encik Ismail, 62 tahun, menawarkan khidmat urut tradisional.



Namun, berbeza daripada kebanyakan tukang urut tradisional, Encik Ismail merupakan tukang urut bebas yang cacat penglihatan.



Beliau telah menyediakan khidmat di kawasan itu sejak lapan tahun lalu dan mendapat kelulusan dan lesen daripada pihak berkuasa agar dapat terus beroperasi sekitar 2012.



Ketika Berita Minggu mengunjungi beliau di situ baru-baru ini sekitar waktu petang, Encik Ismail sedang sibuk mengurut seorang pelanggan tetapnya yang tinggal berhampiran.



Encik Ismail ditemani isterinya, Cik Nur 'Aini Basri, 64 tahun, yang sering membantu suaminya menguruskan 'gerai' mereka.



"Saya telah menjalankan khidmat urut tradisional sejak 16 tahun lalu.



"Sebelum ini saya pernah bekerja di kilang dan kemudian menubuhkan bisnes saya sendiri menjual peralatan tulis dari rumah ke rumah dengan bantuan seorang pekerja.



"Namun, kerana terlalu letih setelah banyak berjalan, saya akhirnya mengambil keputusan menawarkan khidmat urut tradisional ini.



"Saya mendapatkan latihan daripada Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) sebelum melanjutkan latihan sendiri di beberapa pusat urut tempatan," kata Encik Ismail mengongsi kisah hidupnya.



Encik Ismail mula hilang daya penglihatannya pada usia 14 tahun setelah mengalami demam panas. Sejak itu, hidupnya berubah.



Kecacatan itu tidak menghambat semangat Encik Ismail meneruskan hidup seperti orang biasa, ditambah dengan sokongan padu ahli keluarga terutama isterinya, ujarnya yang mempunyai tiga anak dan empat cucu.



Setiap sekitar 10 pagi pasangan Encik Ismail dan Cik Nur 'Aini menaiki teksi dari rumah sewa mereka di Spooner Road (kawasan Tanjong Pagar) ke Bedok North dan hanya menutup 'gerai' mereka sekitar 10 malam.



Mereka makan di kedai kopi berdekatan.



"Inilah rutin harian kami dari Selasa hingga Ahad. Alhamdulillah, pada hari-hari biasa saya mampu mendapatkan sekitar 10 pelanggan dan pada hujung minggu bilangan pelanggan boleh mencecah 20 orang.



"Ada di antara mereka yang datang jauh dari barat Singapura untuk mendapatkan khidmat saya. Ada pula yang datang bersama rakan ataupun keluarga mereka.



"Mereka ke sini kerana mendapati harga yang saya tawarkan agak rendah berbanding di tempat lain," tambah Encik Ismail yang mengenakan bayaran $7 hingga $24.



Pelanggannya terdiri daripada mereka yang berusia antara lima dengan 92 tahun, lelaki dan wanita daripada segenap bangsa.



Beliau turut menyediakan khidmat urut di rumah pelanggan jika menerima permintaan.



Sebagai seorang yang cacat penglihatan, banyak cabaran yang perlu Encik Ismail tempuhi ketika menjalankan perniagaannya.



Misalnya, beliau pernah menerima wang palsu daripada pelanggan yang tidak jujur.



"Ada juga pelanggan yang melarikan diri tanpa membuat sembarang pembayaran. Walaupun ada di antara pelanggan cuba mengambil kesempatan, saya reda.



"Tetapi sejak kebelakangan ini, dengan ada kamera litar di tempat ini, perkara ini jarang berlaku," tambahnya.



Encik Ismail turut menyampaikan penghargaannya kepada Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East kerana telah memberi beliau bantuan dan sokongan agar dapat terus menjalankan perniagaan itu.



"Saya harap dengan bantuan dan sokongan mereka, orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat urut tradisional boleh menghubungi atau mencari saya di sini," ujar beliau.



"Ada juga pelanggan yang melarikan diri tanpa membuat sembarang pembayaran. Walaupun ada di antara pelanggan cuba mengambil kesempatan, saya reda. Tetapi sejak kebelakangan ini, dengan ada kamera litar di tempat ini, perkara ini jarang berlaku."



- Encik Ismail Abdullah tentang cabaran sebagai seorang yang cacat penglihatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >