Calon belanja $7.1j bagi kempen pilihan raya September

CALON pilihan raya umum bulan lalu membelanjakan lebih $7.1 juta kesemuanya, mengikut perbelanjaan yang dikemuka kepada Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) menghabiskan $5.3 juta bagi kesemua 89 kerusi yang ia tandingi parti itu, manakala perbelanjaan oleh lapan parti pembangkang berjumlah $1.8 juta.

Pilihan Raya Umum 2015 itu menyaksikan PAP dicabar di semua kerusi buat kali pertama sejak kemerdekaan. Ia memenangi 83 daripada 89 kerusi dan 69.9 peratus undi.

Perbelanjaan bagi pilihan raya umum kali ini kira-kira 30 peratus lebih tinggi daripada $5.5 juta pada pilihan raya 2011.

Namun, purata perbelanjaan setiap pengundi di bawah jumlah maksimum $4 yang dibenarkan. Jumlah itu dinaikkan tahun ini daripada $3.50 pada 2011.

PAP menghabiskan $2.16 bagi setiap pengundi dan parti pembangkang, 73 sen.

Calon dikehendaki di bawah undang-undang mengemukakan perbelanjaan pilihan raya mereka demi memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam kewangan kempen.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Cik Grace Fu, berbelanja paling besar bagi setiap pengundi: $2.97 secara purata di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Yuhua.

Kesemuanya, beliau membelanjakan $67,114. Kira-kira dua pertiga daripada perbelanjaan itu ialah bagi "pengiklanan dan percetakan bahan promosi".

Perbelanjaan para calon merangkumi daripada perkara asas seperti poster, kain rentang, latar pentas, makan dan minum kepada peralatan berteknologi tinggi.

PAP juga membayar kira-kira $1,500 bagi "pelibatan jurupengaruh", yang pengarah eksekutif parti itu, Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Alex Yam, berkata ialah bayaran bagi "pakar runding perhubungan awam jangka panjang yang membantu menjana kandungan ad hoc bagi laman Facebook kami".

Calon pembangkang yang belanja paling besar ialah Cik Jeannette Chong-Aruldoss, di SMC Mountbatten. Beliau menghabiskan $52,547.69, iaitu $2.18 setiap pengundi secara purata.

Beliau satu-satunya calon pembangkang yang berbelanja lebih $2 bagi setiap pengundi.

Dua calon bebas dalam pilihan raya itu membelanjakan $30,572, tidak termasuk cengkeram pilihan raya yang mereka kehilangan kerana gagal mendapat sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi.

Seorang daripada mereka, Encik Samir Salim Neji, yang bertanding di Bukit Batok, menghabiskan $2,171.65, paling rendah dalam kalangan semua calon.

Seorang lagi, Cik Han Hui Hui, yang bertanding di Radin Mas, berbelanja $28,400.50.

Orang ramai boleh memeriksa perbelanjaan calon di ELD selama enam bulan, bermula Rabu.

Mereka dikehendaki membayar $2 bagi perbelanjaan setiap calon yang hendak diperiksa.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 40
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.