Cara Gereja Harvest City sebarkan agama 'sangat mewah': Hakim

ADA cara lebih murah untuk menyebarkan agama Kristian daripada $24 juta yang dibelanjakan Gereja Harvest City (CHC) bagi kerjaya muzik pop Cik Ho Yeow Sun.

Gereja itu boleh membeli iklan televisyen atau akhbar. Atau ia boleh menganjurkan konsert pop Korea, dengan paderi kanan Kong Hee berkhutbah selepas itu.

Sebaliknya cara ia menyebarkan ajaran itu "sangat mewah", kata Hakim Chan Seng Onn di Mahkamah Tinggi pada Rabu (21 Sep).

Beliau antara tiga hakim yang mendengar rayuan bagi kes enam pemimpin CHC yang disabitkan menggelapkan berjuta-juta dana gereja itu untuk mempromosikan kerjaya Cik Ho dalam misi yang dikenali sebagai Projek Crossover.

Sesi pendengaran rayuan lima hari itu berakhir semalam, dan penghakiman akan disampai kemudian, pada tarikh belum diketahui.

Mengenai banyak cara bagi menyebarkan agama itu, Hakim Chan berkata: "Ia boleh melalui Sun Ho menyanyi, (atau) ia boleh menjadi menarik, pada kos yang lebih murah, mungkin (penyanyi) K-pop dan Kong Hee boleh datang ke konsert itu dan kemudian berkhutbah."

Beliau berkata demikian semasa pihak pendakwaan membentangkan hujah bagi rayuan mereka agar hukuman penjara lebih lama dikenakan ke atas semua enam pemimpin CHC itu:

- Kong Hee: lapan tahun kepada 11 hingga 12 tahun

- Tan Ye Peng: lima tahun dan enam bulan kepada 11 hingga 12 tahun

- Chew Eng Han: enam tahun kepada 11 hingga 12 tahun

- Serina Wee: lima tahun kepada 11 hingga 12 tahun

- John Lam: tiga tahun kepada lapan hingga sembilan tahun

- Sharon Tan: 21 bulan kepada lima hingga enam tahun.

Enam pemimpin CHC itu pula mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman mereka.

Pada Oktober tahun lalu, mahkamah rendah mendapati mereka memasukkan $24 juta daripada tabung pembinaan CHC ke dalam bon palsu yang digunakan untuk membiayai kerjaya muzik Cik Ho, iaitu isteri Kong.

Sebanyak $26 juta lagi digunakan untuk menutup perbuatan jahat awal itu.

Hakim Chan bertanya apakah anggota gereja itu menyokong cara projek Crossover dijalankan.

Mereka menyokongnya, kata kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Christopher Ong, tetapi "apa yang mereka tidak tahu ialah berapa banyak belanja yang ditelan cara itu dan mereka tidak tahu siapa menanggungnya".

Kemudian, Hakim Rayuan Chao Hick Tin bertanya apakah pemimpin CHC itu menjalankan apa yang mereka fikir adalah bagi tujuan gereja, "hanya mereka mengambil jalan salah atau cara-cara salah.

Tetapi DPP Ong berkata adalah lebih penting mahkamah tanya apakah ahli gereja itu menyokong Crossover kerana mereka tidak diberi maklumat lengkap mengenainya.

Sambil memberi analogi, beliau berkata: "Jika saya tawarkan awak sebuah Ferrari dan saya beritahu awak ia adalah percuma, awak juga mungkin menerimanya kerana, mengapa tidak, ia percuma.

"Jika saya memberitahu awak saya akan memberi awak sebuah Ferrari tetapi gunakan wang awak untuk membayarnya, awak mungkin tidak begitu menyokong idea saya memberi awak sebuah Ferrari."

DPP Ong juga memberitahu mahkamah keenam-enam tertuduh tidak menunjukkan penyesalan, yang biasanya akan menjadi satu faktor bagi mitigasi.

Pada penutup sesi pendengaran semalam, Hakim Chao menangguhkan kes itu untuk memberi hakim masa bagi meneliti rekod besar perbicaraan tersebut.

Tiada tarikh untuk penghakiman diberi oleh beliau.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:51
Syuruk
7:08
Zuhur
1:12
Asar
4:13
Maghrib
7:15
Isyak
8:23
3 HR PSI: 66
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,142.900 +15.970