Cekap dan cepat di sempadan tidak harus korbankan keselamatan

KECEKAPAN di sempadan Singapura tidak harus didapatkan dengan mengorbankan keselamatan, terutama sedang ancaman pengganas berada di paras tertingginya sejak kebelakangan ini.

Beberapa kesulitan mesti diterima bagi memastikan Singapura selamat dan terjamin, kata Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri), Encik Desmond Lee.

Beliau menegaskan demikian pada Rabu (11 Mei) dalam ucapan tertutup di seminar pelan kerja tahunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Akademi Home Team.

Encik Lee berkata "sempadan negara ini barisan pertahanan penting pertama kita dalam menentang ancaman pengganasan".

Beliau menegaskan dengan 197 juta pelancong menyeberangi sempadan negara ini tahun lalu - iaitu lebih 500,000 pelancong sehari - tentu ada tekanan daripada orang ramai yang menginginkan pelepasan cepat.

Tetapi beliau menggesa pegawai ICA supaya sentiasa berhati-hati.

"Kita semua dalam ICA mesti terus teliti dalam pemeriksaan kita dan sentiasa berhati-hati pada setiap masa untuk mengesan mereka yang mempunyai niat jahat," ujar Encik Lee.

"Keselamatan keluarga, rakan dan orang tersayang kita bergantung pada kewaspadaan anda."

Beliau turut memuji semua 5,000 pegawai ICA kerana melindungi sempadan negara ini sepanjang masa, 365 hari setahun.

Dalam ucapan berasingan pada Rabu, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Dr Mohamad Maliki Osman, mengulangi perkara itu.

"Walaupun pemeriksaan dipertingkat di pintu masuk darat kita di Woodlands dan Tuas boleh melewatkan kita berulang-alik ke Malaysia, saya berharap anda memahami peri perlu pemeriksaan itu dalam usaha kita menjaga diri kita agar selamat," katanya.

Dr Maliki, yang berucap dalam perbincangan panel mengenai memerangi pengganasan di Pusat Penyelidikan Gunaan UniSIM, juga menekankan risiko yang ditimbulkan oleh pengganasan, dan apa Singapura lakukan bagi menangani ancaman itu.

"Pengganasan menimbulkan ancaman bukan terhadap keselamatan fizikal kita sahaja. Ia juga mengancam raison d'etre (sebab bagi kewujudan) kita dan kesepaduan kita sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum, berbilang agama yang berkembang maju," katanya.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 17
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.