Chee Hean: Mendiang Lee utamakan kemajmukan

KEHARMONIAN antara warga Singapura yang berbilang bangsa dan agama wujud kerana ketegasan mendiang Encik Lee Kuan Yew menjadikan Singapura yang berbilang bangsa, berbilang negara dan berbilang bahasa kata Timbalan Perdana Menteri Encik Teo Chee Hean.

Dalam satu ucapan penghormatan kepada legasi berbilang bangsa mendiang Encik Lee, yang dianggap rukun utama Singapura hari ini, Encik Teo berkata mendiang Encik Lee berserta anggota Kabinetnya - yang berlainan bangsa - bertekad untuk menjadikan elemen berbilang bangsa sebagai asas Singapura.

Mendiang Encik Lee memahami kepentingan menanam semangat jati diri dalam jiwa warga Singapura, tidak kira bangsa, kata Encik Teo di satu acara penghormatan oleh kumpulan-kumpulan masyarakat yang berlangsung di Kallang Theatre di mana mendiang Encik Lee memberikan ucapan terakhirnya sebagai Perdana Menteri di Rapat Hari Kebangsaan 1990.

Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong berserta isterinya Cik Ho Ching turut hadir sama.

Encik Teo menambah bahawa mendiang Encik Lee menggalak semangat masyarakat yang membantu sendiri - sesuatu yang dicerminkan Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Yayasan Mendaki, Angkatan Karyawan Islam (AMP), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), dan Persatuan Serani.

"Tapi Encik Lee amat sedar akan bahaya sebenar di sebalik sikap cauvinisme, tidak kira bahasa, bangsa atau agama," kata Encik Teo yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri.

Beliau menambah mendiang Encik Lee telah menyaksikan bagaimana perbezaan ini telah disalah guna pada awal tahun-tahun negara ini mencapai kemerdekaan, sehingga timbul konflik antara kaum.

"Beliau tahu sekiranya setiap masyarakat itu ingin sesuatu yang berlebihan, yang lain juga akan ikut minta tambahan.

"Dan setiap masyarakat itu serta negara ini kemudian akan mendapat kurang daripada yang diingini," tambah Encik Teo.

Mendiang Encik Lee mengenal pasti bahawa keharmonian bergantung kepada keseimbangan yang sukar - yang berlandaskan semangat memberi dan menerima, saling percaya, dan faham, melayan setiap seorang secara adil, tidak kira bangsa, agama atau kepercayaan," kata Encik Teo lagi.

Beliau menambah elemen berbilang bangsa masih kekal berjalan, sesuatu yang tidak boleh diambil secara ringan di Singapura.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 33
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.