Chee Hean: Tegur kesilapan tadbir urus tugas penguasa

AGENSI pemerintah hanya menjalankan tugas mereka apabila mereka menegur majlis bandaran kendalian Parti Pekerja (WP) mengenai kesilapan dalam kewangannya, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Encik Teo Chee Hean, semalam (1 September).

Dalam satu sidang media Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Teo menyangkal tuduhan WP bahawa jabatan pemerintah menyasarkan musuh politik parti pemerintah itu.

Tuduhan itu dibuat pengerusi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East (AHPETC), Cik Sylvia Lim, Ahad lalu, selepas Kementerian Pembangunan Negara (MND) mengeluarkan angka yang menunjukkan bekas ejen pengurusan AHPETC "mengaut keuntungan berlebihan" daripada pelanggan tunggalnya itu.

Semalam, Encik Teo berkata menarik perhatian mengenai kesilapan dalam tadbir urus ialah tanggungjawab pengawal selia seperti Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra), yang melakukan semakan ad-hoc ke atas juruaudit ejen pengurusan itu selepas MND menimbulkan kebimbangannya.

Acra yang mendapati bekas ejen pengurusan AHPETC, FM Solutions and Services (FMSS), meraih keuntungan bersih $2 juta pada tahun yang sama majlis bandar itu mempunyai defisit operasi sebanyak $2 juta.

"Itu tugas mereka, baik ia melibatkan majlis bandaran PAP, agensi pemerintah, syarikat swasta mahupun badan berkanun. Dan kami menjangka tidak kurang daripada mereka apabila ia melibatkan majlis bandaran kendalian pembangkang," ujar Encik Teo, yang bertanggungjawab ke atas perkhidmatan awam.

Dalam sidang media sama, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menegaskan agensi pemerintah "mempunyai tanggungjawab menyiasat fakta jika terdapat kesilapan".

"Dan jika terdapat keperluan mengambil tindakan pembetulan atau tindakan undang-undang, mereka perlu berbuat demikian.

"Kita perlu menangani isu ini dengan adil. Kita tidak boleh mengatakan hanya kerana ia majlis bandaran pembangkang, dan masalah itu boleh dipolitikkan, jadi kita memberi mereka layanan khas dengan tidak memeriksa butiran operasi mereka atau beberapa masalah dalaman mereka," kata Encik Lee.

"Sama ada masalah wujud adalah fakta objektif. Adalah lebih baik jika masalah boleh diketahui. Setiap orang harus mengalu-alukannya."

Jika ada masalah dalam majlis bandaran kendalian PAP, ia akan menjadi masalah beliau serta MND juga, kata Encik Lee, kerana sebagai setiausaha agung parti, beliau "mengambil bertanggungjawab akhir".

Beliau juga berkata isu-isu AHPETC serius, yang menimbulkan persoalan tentang tadbir urus, keuntungan, daya maju dan kewajarannya.

WP perlu menjelaskan isu-isu itu kepada pengundi, kata Encik Lee.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 23
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.