China digesa kaji semula dasar tidak mahu rujuk tikai wilayah kepada pihak ketiga

BEIJING: China harus mengkaji semula dasarnya tidak membenarkan pertikaian mengenai kedaulatan wilayah dirujuk kepada pihak ketiga, gesa Duta Kelana Singapura, Profesor Tommy Koh, pada Isnin (19 Okt) dalam satu forum awam di sini, di tengah-tengah pertikaian maritim di Laut China Selatan yang telah memburuk hubungan antara China dan Asean.

Mantan Menteri Luar Singapura, Encik George Yeo, pula dalam satu forum berasingan mengesa China mengambil "pendekatan berjiwa besar", lapor akhbar The Straits Times pada Selasa (20 Okt)

Bercakap pada Forum China-Singapura ke-10, Profesor Koh berkata: "Rayuan saya kepada China ialah mereka mesti memikirkan dan menimbang semula dasar kebangsaan yang mengatakan (berhubung) semua pertikaian mengenai kedaulatan wilayah, China tidak akan bersetuju untuk merujuknya kepada pihak ketiga.

"Selagi ia mengambil kedudukan ini, adalah mustahil untuk menyelesaikan pertikaian itu melalui cara undang-undang."

Ini mewujudkan penghalang kepada hubungan harmoni antara China dan Asean, yang menikmati hubungan baik sehingga 2009, apabila Beijing memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa ia mempunyai kedaulatan yang tidak boleh dipertikai ke atas pulau di Laut China Selatan.

Dalam Dialog Astaka Utara di Universiti Peking, Encik Yeo berkata: "Terhadap Asia Tenggara, kerana China lebih besar dan kuat, di mana ada ruang untuk bergerak, adalah lebih baik China mengambil pendekatan berjiwa besar."

Beliau menambah: "Ini akan membantu China mempunyai hubungan baik dengan Filipina, Vietnam dan Asean."

Dialog itu bertujuan menawarkan platform bagi pertukaran pandangan secara jujur mengenai isu-isu keselamatan.

Mengimbas kembali perjalanan ke Korea Utara ketika menjadi menteri luar, Encik Yeo berkata beliau dimaklumkan apabila melalui bandar sempadan Dandong di China bahawa beberapa pulau di Sungai Yalu yang sangat dekat dengan Cina milik Korea Utara.

"Saya diberitahu oleh jurupandu saya bahawa China memberi pulau-pulau itu kepada Korea Utara dengan satu syarat, iaitu seluruh Sungai Yalu dibuka kepada pelayaran oleh kedua-dua belah pihak.

"Jadi China, sebagai balasan bagi akses terbuka kepada Sungai Yalu... mengambil pendekatan murah hati," katanya.

China menuntut sehingga 90 peratus daripada Laut China Selatan, yang juga dituntut sebahagiannya oleh Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan.

Dalam ucapannya, Profesor Koh juga berkata Asean mengakui bahawa "kekurangan rasa saling mempercayai" wujud antara negara di rantau ini, yang menimbulkan ancaman kepada keamanan dan kestabilan serantau.

"Hakikatnya ialah terdapat banyak masalah dan kita mesti menyedari bahawa ia wujud. Adalah misi Asean untuk menggantikan rasa tidak percaya semasa dengan rasa saling percaya, syak wasangka dengan keyakinan bersama, dan rasa tidak selesa dengan selesa. Kami menjemput China menyertai kami dalam tugas penting ini," katanya.

Profesor Koh juga menyentuh tentang perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP), menekankan bahawa ia tidak bertentangan dengan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) yang China sedang promosikan.

Beliau menambah bahawa China harus menimbang menyertai TPP, yang diketuai Amerika Syarikat.

Sementara itu, walaupun pemerhati sering memberi tumpuan pada keadaan hubungan Amerika-China, Encik Yeo percaya hubungan China-India harus diberi tumpuan pada jangka panjang.

Pada 2050, India boleh menjadi ekonomi ketiga terbesar di dunia, katanya.

"Jika India dan China mengekalkan hubungan baik, secara automatik Asean akan mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya. Dan jika anda mencampur jumlah penduduk mereka, ia separuh daripada dunia.

"Dalam erti kata lain... separuh dunia akan stabil dan ia sangat baik untuk seluruh dunia," kata Encik Yeo.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 56
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.