Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Cita rasa pelanggan kedai buku sudah dapat 'dibaca'

Jan 14, 2018 | 05:30 AM



Kadar membaca yang rendah serta minat yang berkurangan terhadap bahan bacaan merupakan trend yang ketara di Singapura. Menurut kajian Majlis Seni Kebangsaan (NAC) yang dikeluarkan tahun lalu, 56 peratus warga Singapura yang ditinjau tidak membaca sebarang buku antara tempoh Mac 2014 dengan Mac 2015. Namun, kedai buku tempatan mempunyai cara tersendiri untuk kekal menawarkan khidmat di sebalik trend yang tidak menggalakkan itu. Wartawan Berita Minggu, SITI AISYAH NORDIN (naisyah@sph.com.sg), meninjau usaha dua kedai buku tempatan untuk kekal bertapak.



JIKA anda pernah menjejakkan kaki di kedai buku Wardah Books di Bussorah Street, besar kemungkinan wajah anda dikenali pemiliknya Encik Ibrahim Tahir.



Malah, pertanyaan kepadanya mengenai buku tertentu dan luahan minat terhadap sesebuah topik juga pasti 'dirakam' dalam mindanya.



Untuk itu, usah terkejut jika beliau mengetahui buku serta topik apa untuk disarankan kepada anda semasa kunjungan ke Wardah Books seterusnya.



Dalam perkongsian dengan Berita Minggu baru-baru ini, Encik Ibrahim, 43 tahun, berkata bahawa layanan pelanggan khusus itu merupakan antara keistimewaan kedai buku kecil sepertinya.



"Interaksi dengan setiap pelanggan seperti ini yang kami utamakan kerana ia membuatkan pelanggan berasa dihargai.



"Ini tidak dapat dilakukan (jika anda menguruskan) kedai buku besar. Untuk itu saya cukup gembira dengan saiz kecil kami," katanya.



Menurut Encik Ibrahim, beliau dan lima penjual lain mengenali nama kebanyakan pelanggan tetap Wardah Books serta topik kegemaran mereka.



"Apabila pelanggan tetap kami mengunjungi Wardah Books, kami akan menyarankan kepada mereka buku yang baru tiba atau buku yang kami rasa sesuai dengan minat mereka.



"Walaupun mereka tidak datang ke kedai, kami tetap akan menghantar e-mel supaya mereka tahu," katanya.



Selain layanan khusus, Encik Ibrahim juga ingin menyediakan ruang yang selesa dan menenangkan.



"Hanya dalam ruang yang selesa dapat seseorang itu membelek dan memilih buku dengan tenang, jika pelanggan itu ingin meluangkan harinya duduk di sini juga kami tidak kisah, kerana kami ingin menyemai sikap gemar membaca di kalangan masyarakat," ujarnya.



Ditanya tentang pilihan buku yang tersedia di kedai buku Wardah Books serta lamannya, Encik Ibrahim menyifatkan pilihannya itu sebagai "buku yang mungkin menarik minat masyarakat Islam."



Ini terdiri daripada buku tentang sufi, ehwal semasa, dunia Islam meluas, isu kontemporari melibatkan masyarakat Islam serta cerita fiksyen.



Topik ini disediakan di samping buku klasik seperti pembelajaran Al-Quran, hadis dan sejarah Nabi. Kesemua buku yang dijual adalah dalam bahasa Inggeris.



Namun, Encik Ibrahim akui bahawa minat membaca yang semakin berkurangan di kalangan masyarakat merupakan antara cabaran untuk kedai buku sepertinya.



"Untuk kedai buku seperti Wardah Books untuk terus berkekalan, masyarakat mesti merasakan perlunya kewujudan buku dan untuk terus memperbaiki diri dan menimba ilmu.



"Memang trend minat membaca yang berkurangan membimbangkan. Ia mungkin tidak membantu bisnes kami tapi pada masa yang sama agak sedih jika sesebuah masyarakat itu tidak meletakkan nilai yang tinggi kepada pengetahuan," ujar bapa dua anak berusia 17 dan 13 tahun itu.



Untuk itu, Encik Ibrahim berharap bahawa dengan layanan yang diberikan serta mutu buku yang dijual, budaya gemar membaca dapat disemai di kalangan masyarakat.



Bagi membiasakan diri serta memastikan mutu setiap buku yang dijual Wardah Books, Encik Ibrahim akan membaca setiap daripadanya.



Namun, ini sesuatu yang menyeronokkan baginya yang mengakui bahawa beliau mempunyai 'cinta' yang mendalam terhadap membaca.



Ditanya sama ada beliau boleh menyarankan satu buku bagi seseorang yang baru ingin menyemai minat membaca, Encik Ibrahim berkata:



"Walaupun saya telah membaca pelbagai jenis buku, saya tidak boleh memberikan saranan kerana semuanya berdasarkan minat seseorang itu.



"Tip yang boleh saya beri adalah jika anda baru ingin menyemai minat membaca, mula dengan topik yang anda minati," ujarnya.



Encik Ibrahim berkata bahawa beliau berharap Wardah Books dapat berkhidmat kepada masyarakat untuk jangka masa panjang sebagai salah satu wadah menimba pengetahuan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >