Covid-19: Vaksinasi bagi 400,000 pelajar bermula

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Covid-19: Vaksinasi bagi 400,000 pelajar bermula

Keutamaan bagi 56,000 yang akan duduki peperiksaan GCE peringkat N, O dan A serta kelayakan serupa seperti diploma IB
Jun 1, 2021 | 5:30 AM

Covid-19: Vaksinasi bagi 400,000 pelajar bermula

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
c0652fbf-0e84-4b54-95ae-b4a1c616e1ba
-

MULAI hari ini, lebih 400,000 pelajar berusia 12 tahun dan ke atas yang menuntut di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (MOE) dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) akan menerima undangan untuk divaksinasi.

Keutamaan akan diberikan kepada sekitar 56,000 pelajar aliran utama yang akan menduduki peperiksaan GCE peringkat N, O dan A serta kelayakan serupa seperti diploma International Baccalaureate (IB) dalam separuh kedua tahun ini.

Ini memberikan kumpulan ini fleksibiliti tambahan dalam membuat jadual janji temu vaksinasi, umum Kementerian Pendidikan (MOE).

Beberapa pelajar didapati positif Covid-19 sepanjang bulan lalu, menyebabkan beberapa sekolah beralih ke pembelajaran di rumah (HBL) sebelum 16 Mei lalu, apabila sekatan dipertingkat dikenakan terhadap seluruh negara bagi mengekang penularan virus itu.

Memberikan kemas kini mengenai keadaan Covid-19 di Singapura semalam, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata:

"Kanak-kanak ini tidak mengalami sakit yang serius, sudah semestinya ibu bapa berasa bimbang.

"Oleh itu, kami akan mengambil kesempatan cuti sekolah Jun ini untuk memberikan vaksin kepada para pelajar."

Dalam masa dua minggu akan datang, undangan yang sama akan dilanjutkan kepada kumpulan pelajar sepenuh masa lain termasuk sekolah yang dibiayai secara peribadi, madrasah dan sekolah berpendidikan khas (Sped).

Janji temu paling awal untuk mendapatkan vaksin bagi pelajar ialah 3 Jun, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing dalam satu sidang media dalam talian semalam.

Mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas boleh memilih sama ada untuk mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech atau Moderna manakala mereka yang berusia antara 12 dengan 17 tahun hanya ditawarkan suntikan vaksin Pfizer sahaja.

Ini kerana vaksin Moderna belum lagi diluluskan bagi kumpulan usia lebih muda.

Bagi yang berusia 12 tahun pada 1 Jun tahun ini, mereka boleh menerima suntikan itu, manakala mereka yang ulang tahun yang ke-12 jatuh selepas tarikh 1 Jun, akan diundang untuk mendapatkan vaksinasi pada tarikh lain.

Bagi kebanyakan pelajar, tempahan bagi janji temu vaksinasi akan dijalankan melalui Sistem Janji Temu Nasional.

Namun, pelajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan sekolah Sped, akan menerima arahan bagi vaksinasi dari sekolah masing-masing.

Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohd Maliki Osman, semalam, menggesa pelajar dan ibu bapa untuk memanfaatkan cuti sekolah Jun ini untuk mendapatkan vaksinasi.

"Vaksin ini selamat dan akan memastikan anda dan keluarga anda selamat. Usaha anda akan membantu bukan sahaja dalam melindungi sekolah dan IHL, malah keluarga dan masyarakat," ujarnya, menulis di Facebook.

Pelajar berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan pautan khas bagi menempah janji temu vaksinasi di pusat vaksinasi.

Ibu bapa atau penjaga pelajar berusia bawah 18 tahun akan menerima SMS yang serupa.

Kebenaran ibu bapa atau penjaga diperlukan bagi kumpulan itu.

Empat pusat vaksinasi MOE khas disediakan, dengan tiga berada di ITE - iaitu di Kolej Central, Kolej Timur dan ITE Kolej Barat.

Satu lagi pusat vaksinasi khas berada di Pusat Konvensyen Raffles City yang akan mula beroperasi pada 7 Jun.

Pusat ITE boleh memberikan 1,600 dos vaksin sehari manakala pusat Raffles City boleh memberikan 2,000 dos sehari.

Bagi pelajar yang di sekolah Sped yang mungkin mengalami kesukaran ke pusat vaksinasi, Kementerian Kesihatan (MOH) akan mengerahkan pasukan vaksinasi bergerak ke sekolah bagi semua pelajar Sped berusia 12 tahun dan ke atas.

Pelajar lain yang memerlukan sokongan tambahan akan dibantu sekolah masing-masing apabila sekolah dibuka.

Ini termasuk menawarkan khidmat pengangkutan ke pusat vaksinasi dan peruntukan khas bagi pelajar yang mempunyai ibu bapa di penjara.

Pelajar madrasah akan turut terima undangan

PELAJAR madrasah sepenuh masa merupakan antara sekolah setempat yang juga akan menerima undangan untuk divaksinasi bermula hari ini, kata Kementerian Pendidikan (MOE), semalam.

Menurut MOE, seperti aliran utama, kohort yang akan menduduki peperiksaan nasional tahun ini khususnya yang akan menduduki peperiksaan GCE peringkat O, N dan A, akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) mereka terlebih dahulu hari ini.

Bagi pelajar peringkat lain, berusia 12 tahun dan ke atas, mereka akan menerima undangan vaksinasi dalam masa dua minggu akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg