Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Daerah Sivik bermandi cahaya 19 hingga 28 Januari

Jan 06, 2018 | 05:30 AM



DAERAH Sivik Singapura akan bermandi cahaya apabila pesta Light to Night kembali bagi edisi kedua anya tahun ini.



Pesta yang akan berlangsung dari 19 hingga 28 Januari itu kali ini membawa tema Colour Sensations dan menjanjikan lebih 30 program.



Bermula pada 2016 sebagai acara sambutan ulang tahun Galeri Nasional Singapura (NGS), pesta ini diluaskan menjadi pesta seni seluruh kawasan yang diterajui NGS bersama empat lagi rakan kongsi kawasan iaitu The Arts House, Panggung Victoria dan Dewan Konsert Victoria, Muzium Tamadun Asia (ACM) dan The Esplanade.



Pesta Light to Night kali ini menjanjikan pengunjung pengalaman yang memukau dan merangsang pelbagai deria dengan kawasan yang berubah warna dari siang ke malam.



Antara lain, mereka berpeluang menyaksikan kegiatan dan seni awam oleh seniman dari Singapura dan luar negara, seperti penayangan cahaya interaktif, permainan ilusi menggunakan cermin, dan persembahan merentas tujuh zon program di kawasan itu.



Buat kali pertama, muka bangunan NGS akan menjadi kanvas interaktif bagi pengunjung menghasilkan karya seni awam.



Diberi judul Chromascope, pengunjung diajak mengambil bahagian dengan memijak sejenis alas yang disediakan bagi menayangkan visual berwarna di muka bangunan NGS.



Bangunan di sebelah NGS, bekas bangunan Mahkamah Agung, bersama-sama The Arts House, Panggung Victoria dan Dewan Konsert Victoria serta ACM pula menjanjikan ekstravaganza lampu pada muka bangunan yang paling besar di Singapura.



Pengunjung yang menyaksikan Art Skins on Monuments dapat menikmati paparan lampu berwarna-warni oleh 30 seniman, pelukis ilustrasi, dan pereka berbilang media dari Singapura atau yang berpangkalan di Singapura menghiasi setiap monumen.



Di Empress Lawn, pemasangan House of Mirrors oleh dua seniman dari Melbourne membuat kemunculan pertamanya di Asia.



Karya seni ini menggabungkan kesukaan dan kecurigaan dengan barisan cermin yang membuat pengunjung melihat ilusi optik yang mengelirukan serta pantulan imej yang membingungkan.



Pengunjung ke pesta ini juga dapat melihat terowong Esplanade Park bercahaya apabila kolektif reka bentuk pencahayaan yang berpangkalan di Singapura, Nipek, mempersembahkan Trip to the Colourscape.



Ia adalah paparan warna terang yang bertujuan merangsang kesedaran tentang sekitaran menerusi mainan bayang dan lampu berwarna.



Pengalaman ini akan dipertingkat dengan persembahan muzik di Esplanade Park oleh band setempat seperti Sang Matahari Tidur Mati.



Selain itu, pelajar tahun satu dari fakulti seni bina Universiti Nasional Singapura (NUS) akan mempersembahkan pemasangan baru Art Incubator: Tropical Primitive Hut, di ACM Green.



Tafsiran pondok primitif ini meneroka kaitan asli antara penduduk, seni bina dan sekitaran yang mungkin sering terlepas pandang semasa pembangunan bandar Singapura yang pesat.



Sebagai sebahagian pesta Light to Night, NGS juga telah menugaskan lima seniman untuk mencipta karya seni di ruang tertutup yang menggalak penglibatan pengunjung.



Antaranya ialah A Stitch in Time oleh seniman Filipina David Medalla.



Ia adalah karya arca besar yang diilhamkan daripada pertemuan tidak sengaja Medalla dengan sapu tangan yang beliau hadiahkan kepada bekas kekasihnya beberapa tahun lalu.



Pengunjung digalak menjahit perkataan atau memorabilia kecil di kanvas itu sebagai memaparkan kesalinghubungan dan penemuan tidak sengaja.



Pesta Light to Night berlangsung selama 10 hari pada masa yang berbeza-beza.



Masuk percuma.



Lungsuri www.lighttonight.sg bagi maklumat lanjut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >