BAHAS BELANJAWAN 2015

Dasar dan rancangan yang bakal dilaksanakan beberapa kementerian dibentangkan dalam Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Belanjawan 2015

KEMENTERIAN EHWAL DALAM NEGERI (MHA)

Rekrut Pegawai

MHA akan merekrut 2,000 lagi pegawai dalam tempoh lima tahun bagi menangani cabaran keselamatan Singapura.

Lebih ramai anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NS) daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan anggota NS sepenuh masa polis akan dikerah ke barisan hadapan bagi melengkapi pegawai tetap.

Tangani Pengganasan

Keupayaan tangani cabaran seperti pengganasan akan ditingkat. Kumpulan masyarakat dan agama seperti Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) juga memainkan peranan utama dalam mencegah dan menghalang pengganasan dan dalam mengekalkan perpaduan serta keharmonian sosial selepas kejadian serangan.

Jenayah Siber

Komand Jenayah Siber baru akan dibentuk dalam Jabatan Siasatan Jenayah (CID) bagi menangani cabaran jenayah siber.

Komand itu akan berfungsi khusus dalam siasatan siber, forensik digital dan dasar jenayah siber.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN (MOE)

Banyak Kursus

Lebih 300 kursus berbentuk modular dilancarkan oleh universiti dan politeknik menjelang hujung tahun ini bagi mengasah kemahiran pelajar dalam bidang tertentu. Daripada jumlah itu, sekitar 200 kursus akan ditawarkan oleh universiti manakala lebih 100 pada peringkat diploma dan posdiploma.

Perluas Subsidi

Subsidi bagi diploma sambilan, spesialis dan lanjutan bakal diperluas. Warga Singapura berusia 40 tahun ke atas yang dalam tempoh pertengahan kerjaya juga bakal menikmati subsidi lebih luas bagi meningkatkan kemahiran di bawah SkillsFuture.

KEMENTERIAN SEKITARAN DAN SUMBER AIR (MEWR)

Pusat Penjaja Baru

Sebanyak 10 lagi pusat penjaja bakal dibina termasuk di Bidadari, Bukit Batok, Bukit Panjang, Choa Chu Kang dan Sengkang dalam 12 tahun mendatang.

Dua daripadanya yang dirancang sebelum ini, di Bukit Panjang dan Hougang, akan siap tahun ini.

Loji Penyulingan Air

Loji penyulingan air yang ketiga akan dibina di Tuas. Ini bagi meningkatkan daya tahan rangkaian dan keselamatan air penduduk Singapura.

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN (MOT)

Terminal 5

Terminal baru di Lapangan Terbang Changi - Terminal 5 (T5) - dijadualkan dibuka dalam masa sedekad. T5 akan dibina agar dapat menampung 50 juta penumpang setiap tahun sebagai permulaan, dengan kapasitinya bakal setanding dengan T1, T2 dan T3 digabungkan.

Tren

Laluan MRT dibangunkan pada kadar yang belum pernah dicapai dalam sejarah negara ini bagi meningkatkan keupayaan sistem itu.

Laluan Downtown akan siap sepenuhnya pada 2017, manakala laluan Thomson-East Coast akan dibuka mulai 2019.

Menjelang 2030, rangkaian rel sepadat seperti di New York dan London.

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN NEGARA (MND)

Miliki Rumah

Pemerintah akan meningkatkan bantuan bagi membolehkan keluarga yang menyewa flat akhirnya memiliki rumah.

Flat Dua Bilik

Satu skim baru flat dua bilik dikaji yang menawarkan tempoh pajakan lebih singkat untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan.

MND dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) juga sedang menyemak skim Apartmen Studio (SA).

Peningkatan Estet

Estet perumahan Toa Payoh, Woodlands dan Pasir Ris akan menjalani peningkatan di bawah program Mencipta Semula Estet Kejiranan (ROH).

Sebuah jawatankuasa baru juga akan ditubuhkan bagi menyemak Skim Mencergaskan Semula Kedai (ROS).

KEMENTERIAN TENAGA MANUSIA (MOM)

Usia Persaraan Dinaikkan

Langkah menaikkan usia pengambilan semula pekerja matang kepada 67 tahun dalam masa dua hingga tiga tahun.

Ini termasuk memperkenalkan Kredit Pekerjaan Khas (SEC) sebagai insentif kepada majikan supaya menggajikan semula pekerja berusia 65 tahun dan ke atas.

Tabung Simpanan Pekerja (CPF)

Pencarum CPF boleh menjangka satu khidmat bimbingan peribadi bagi membantu mereka memahami pelbagai pilihan menggunakan wang CPF dalam persaraan.

Memaksimumkan sistem CPF bagi meningkatkan kecukupan persaraan keluarga termasuk suami menokok kepada akaun isteri yang tidak bekerja.

Pekerja Gaji Rendah

Sebuah jawatankuasa akan menumpukan perhatian bagi meningkatkan taraf pekerja bergaji rendah yang bekerja di syarikat kecil dan sederhana (SME) serta pekerja kasual.

Langkah meningkatkan daya penghasilan dan rekaan semula pekerjaan juga diusul.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 36
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.