Davinder dilantik jadi naib pengerusi badan antarabangsa

Peguam Kanan (SC) Davinder Singh menjari peguam terbaru yang menyertai kumpulan pakar undang-undang Singapura yang dilantik berkhidmat dalam badan undang-undang antarabangsa terkemuka.

Ketua pegawai eksekutif firma guaman Drew & Napier itu dipilih menjadi naib pengerusi Suruhanjaya ICC mengenai Tanggungjawab Korporat dan Antirasuah yang berpangkalan di Paris.

Pakar undang-undang lain Singapura yang memegang jawatan tinggi di luar negara termasuk Hakim Besar (CJ) Sundaresh Menon, Peguam Kanan Michael Hwang dan peguam korporat terkemuka Lee Suet Fern.

ICC, atau Dewan Perdagangan Antarabangsa, sebuah pertubuhan perniagaan dunia sektor swasta dengan peranan penting dalam perdagangan dan komersial antarabangsa, yang mengadakan peraturan, mekanisme dan piawaian antarabangsa yang digunakan di seluruh dunia.

SC Singh difahamkan satu-satunya peguam Singapura yang dilantik dalam kepimpinan salah satu daripada 13 suruhanjaya dasar di bawah ICC.

Suruhanjaya ICC mengenai Tanggungjawab Korporat dan Antirasuah antara lain membangunkan peraturan tingkah laku, amalan terbaik dan sokongan bagi memerangi rasuah.

Ia mengumpulkan lebih 300 ahli dari 40 negara, yang mewakili syarikat berbilang negara (MNC), firma guaman, persatuan perdagangan, dan perusahaan kecil dan sederhana.

CJ Menon menjadi penaung Institut Timbang Tara Berkanun (CIArb) yang berpangkalan di Britain.

Di Dubai, SC Hwang ialah Hakim Besar Mahkamah Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai. Beliau juga merupakan naib presiden kehormat dan ahli lembaga pengelola Majlis Antarabangsa bagi Timbang Tara Komersial (ICCA).

CJ Menon juga ahli lembaga yang mengawal ICCA.

Cik Lee, rakan pengurusan firma Morgan Lewis Stamford, pula antara lain menjadi pengarah Projek Keadilan Dunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 63
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.