Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SOROTAN ISU

Perlu sistem sokongan kukuh bantu wanita lalui perubahan kehidupan

May 11, 2022 | 05:30 AM



Demi memastikan keprihatinan serta pandangan golongan belia Singapura kedengaran, Majlis Belia Kebangsaan (NYC) telah menganjurkan beberapa sesi dialog sebagai sebahagian daripada Siri Perbincangan Tentang Pembangunan Wanita Singapura sepanjang tahun lalu. BERITA HARIAN (BH) mendalami isu-isu yang menjadi keutamaan golongan belia melalui temu ramah dengan dua belia yang terlibat dalam perbincangan ini.




TEMPOH penyesuaian dalam melalui tahap kehidupan berbeza memerlukan sistem sokongan yang kukuh bagi membantu wanita menghadapi setiap peralihan dengan lebih baik.



Ini termasuk apabila peranan wanita itu berubah - ataupun ditambah - contohnya sebagai ibu baru, ibu yang ingin kembali ke tempat kerja, ataupun ibu tunggal yang baru melalui proses perceraian.



Isu sistem sokongan merupakan antara keprihatinan yang dikemukakan belia melalui sesi-sesi dialog Siri Perbincangan Tentang Pembangunan Wanita Singapura, dan ia juga isu yang cukup dekat di hati pengasas Liyana Musfirah Network (LMN), Ustazah Liyana Musfirah.



Mengulas lanjut, Ustazah Liyana yang merupakan salah seorang belia yang telah menyumbang semasa dialog-dialog tersebut, berkata sebagai ibu tunggal yang diberi hak penjagaan anak-anak, adakalanya beliau memerlukan sokongan dalam menghadapi cabaran yang timbul, terutama sekali dalam menyesuaikan diri selepas perceraian.



"Ibu tunggal seperti saya biasanya perlu mencari huraian sendiri terhadap masalah yang kita hadapi, terutama sekali dalam menyesuaikan diri selepas bercerai.



"Secara amnya, sentimen ibu-ibu tunggal yang juga merupakan anggota LMN adalah mereka kurang sistem sokongan dan akses kepada sumber," ujarnya.



Tambahnya, ramai yang terpaksa mempertimbang keputusan mendirikan rumah tangga sekali lagi sebagai salah satu alternatif bagi mendapatkan akses kepada sumber serta mendapatkan sokongan.



Justeru, beliau mengalu-alukan langkah bantuan yang ditujukan bagi membantu golongan ibu bapa tunggal yang dilakarkan dalam Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita yang dibentangkan baru-baru ini.



Ini termasuk dalam bentuk sokongan bagi pekerjaan serta penjagaan dan pembangunan anak-anak melalui rangkaian yang dimulakan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).



Meskipun terdapat sokongan sedia ada bagi golongan ibu bapa tunggal, lebih banyak yang boleh dilakukan untuk membantu golongan ibu menyesuaikan diri dan mengharungi cabaran selepas bercerai, menurut Ustazah Liyana.



Ini termasuk dalam isu perumahan, proses kembali bekerja serta dalam membantu anak-anak menyesuaikan diri kepada perubahan tersebut.



"Semua ini perlu dilakukan sebaik sahaja selesai proses cerai yang biasanya cukup meletihkan. Ibu tunggal biasanya tak dapat rehat.



"Jadi saya harap dasar dapat diperkukuh bagi membantu proses penyesuaian ini dan untuk menstabilkan hubungan 'co-parenting' selepas perceraian," katanya.




DILEMA IBU TUNGGAL



"Ibu tunggal seperti saya biasanya perlu mencari huraian sendiri terhadap masalah yang kita hadapi, terutama sekali dalam menyesuaikan diri selepas bercerai. Secara amnya, sentimen ibu-ibu tunggal yang juga merupakan anggota LMN adalah mereka kurang sistem sokongan dan akses kepada sumber.''
- Ustazah Liyana Musfirah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >