Dipenjara 6 minggu kerana sogok teknisyen

SEORANG warga China dijatuhi hukuman penjara enam minggu pada Isnin (3 Okt) kerana memberi rasuah kepada dua teknisyen supaya berlembut apabila menjalankan pemeriksaan projek.

Li Chen, 34 tahun, seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura, menjadi pengurus projek Great Resources M&E Contractor apabila dia memberi rasuah $100 pada September 2011 dan November 2013 kepada seorang teknisyen SP Services ketika itu, Jasman Tiron, 56 tahun

Ia bertujuan mendorong Jasman supaya tidak menimbulkan kesukaran bagi Great Resources apabila dia memeriksa pemasangan papan elektrik subkontraktor di Block 55, Havelock Road.

Pendakwaan diteruskan atas kesalahan September 2011 itu, serta satu tuduhan bahawa Li berpakat dengan Aung Myat Wynn dan Mohammad Jasim Uddin Habej Uddin untuk memberi rasuah $450 kepada bekas teknisyen SP PowerGrid, Muhamad Ridhuan Ramli, supaya Ridhuan tidak menimbulkan kesukaran bagi Hong Dat Engineering berkaitan satu pemasangan di Blok 667A, Punggol Drive.

Li mengarahkan Aung memberi wang untuk Ridhuan pada 8 Ogos 2014.

Dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

SP Services, anak syarikat Singapore Power, bertanggungjawab bagi bil bacaan meter, perkhidmatan pelanggan dan pembekalan elektrik, manakala SP PowerGrid, satu lagi anak syarikat, mengendalikan penghantaran dan pengagihan elektrik di Singapura.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Norman Yew berkata tugas Jasman termasuk memeriksa pemasangan elektrik di flat HDB yang sedang dibina bagi memastikan sistem elektrik flat itu boleh digunakan dan selamat untuk membekalkan elektrik ke flat.

Pada 26 Sept 2011, Jasman memeriksa projek Great Resources di sebuah flat di Havelock Road dan enggan meluluskan pemeriksaannya walaupun pemasangan itu memuaskan. Li kemudian membawanya ke satu sudut dan memberinya $100.

Selepas mengambil wang itu, Jasman menunjukkan pada komputer tangannya bahawa pemasangan elektrik Great Resources lulus pemeriksaan.

Dalam kes lain, mahkamah mendengar bahawa pada 8 Ogos 2014, tiga teknisyen SP PowerGrid ketika itu, Muhamad Ridhuan, 34 tahun, Mohamad Suffiandi Mohamad Suhaimi, 31 tahun, dan Mohd Kutty Hassan, 63 tahuh, bertemu Jasim dan Aung apabila mereka pergi ke flat di Punggol itu untuk memasang meter elektrik.

Semasa memeriksa papan meter elektrik, Ridhuan sengaja menggunakan kaedah yang salah, dan mendapati papannya tidak dipasang cukup tinggi. Dia kemudian memberitahu Aung mereka tidak akan memasang meter elektrik kerana pemasangan papannya tidak memuaskan.

DPP Yew berkata papan meter itu sebenarnya dipasang dengan memuaskan mengikut garis panduan SP PowerGrid.

Ridhuan kemudian meminta $150 setiap seorang untuk dirinya, Suffiandi dan Mohd. Aung memanggil Li, yang memberitahunya supaya memberi Ridhuan $ 20, tetapi tawaran itu ditolak Ridhuan.

Aung kemudian memanggil Li sekali lagi, dan kali ini, Li menyuruh Aung mengambil $450 daripada Jasim dan memberi wang itu kepada Ridhuan.

Selepas mengambil rasuah tersebut, tiga teknisyen itu mamasang meter elektrik tersebut.

Jasman dan Ridhuan masing-masing telah dijatuhi hukuman penjara enam dan dua minggu, dan denda $200 setiap seorang.

Suffiandi dihukum penjara satu minggu manakala Mohd diberi amaran. Kes terhadap Aung dan Jasim belum selesai.

Hukuman maksimum bagi rasuah ialah denda $100,000 dan penjara lima tahun.

Waktu Solat

Subuh
5:45
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:35
Maghrib
7:17
Isyak
8:30
3 HR PSI: 22
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,354.710 +17.990