Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tekad jaya dorongan utama penerima Biasiswa Industri Tenaga

Nov 14, 2019 | 05:30 AM



Sembilan pelajar kejuruteraan telah dianugerahkan Biasiswa Industri Tenaga (EIS) tahun ini, iaitu jumlah penerima terbesar sejak biasiswa tersebut diadakan pada 2014. EIS bertujuan membangunkan dan memupuk bakat bagi sektor tenaga, dan terbuka kepada pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik. EIS dibiayai bersama oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan rakan industri termasuk PacificLight Power, Senoko Energy, SP Group dan Tuas Power. NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg) dan HAZIRAH NURFITRAH HANIFAR (hazirahh@sph.com.sg)mengetengahkan beberapa pelajar Melayu/Islam yang berjaya menerima EIS tahun ini.



 'Loncatan besar' dari ITE ke politeknik dalam jurusan kejuruteraan bawa hasil



BIDANG kejuruteraan amat sesuai baginya yang suka pada angka dan berminat dalam bidang reka bentuk.



Demikian ujar Encik Indra Haqim Mohd Zulkifli, yang baru-baru ini menerima Biasiswa Industri Tenaga (EIS).



Cintanya terhadap kejuruteraan bermula ketika beliau menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat di mana beliau telah memperoleh sijil Higher Nitec dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.



"Saya lebih cenderung kepada perkara berkaitan nombor. Saya suka mereka benda dan saya suka buat kira-kira.



"Pada awalnya saya nak (ceburi) bidang seni bina, tapi bapa saya menasihatkan saya agar memilih kejuruteraan sebab industri ini boleh tahan lama," katanya ketika dihubungi.



Kini, Encik Indra, 24 tahun, yang menuntut di Politeknik Singapura (SP) dan sedang memburu Diploma dalam Kejuruteraan Mekanikal, berkata, pengalaman belajar dari ITE ke politeknik merupakan "loncatan besar" baginya.



Di ITE cara pembelajarannya lebih kepada praktikal manakala di SP pula lebih kepada teori, katanya. Oleh itu, beliau memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri.



TIDAK MAHU KETINGGALAN



"Saya kerja keras supaya tak ketinggalan dalam pelajaran selain mendapatkan bantuan daripada teman-teman," katanya.



Abang dalam tiga beradik itu merupakan salah seorang daripada sembilan penerima EIS tahun ini - jumlah penerima terbesar sejak biasiswa tersebut diperkenal pada 2014.



Biasiswa itu merangkumi yuran persekolahan, elaun bulanan, wang untuk membeli keperluan sekolah seperti komputer riba dan buku teks serta ikatan pekerjaan dengan syarikat tenaga yang telah membiayainya.



Encik Indra terikat selama dua tahun dengan syarikat Senoko Energy. Beliau juga tidak sabar memulakan tugas dengan syarikat tersebut sebaik tamat pengajian di SP, katanya, kerana tidak pernah melangkah ke industri tenaga secara profesional sebelum ini.



AZAM LANJUT PELAJARAN KE UNIVERSITI



"Ia merupakan langkah yang besar dan baik bagi saya, insya-Allah," ujar anak muda itu yang berazam mahu melanjutkan pengajian ke universiti pula selepas itu.



Dengan adanya biasiswa tersebut, tambahnya, beliau juga dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan ibu bapanya, Encik Mohd Zulkifli Baderon, 52 tahun, yang bekerja dalam industri seni bina, dan Cik Saimah Salleh, 50 tahun, eksekutif perakaunan, yang turut membiayai persekolahan kedua-dua adiknya.



"Lagipun pada usia 24 tahun, macam malulah nak minta mak bapak saya duit (wang saku) untuk sekolah, jadi alhamdulillah, ada biasiswa ini," ujarnya.




Berwawasan jadi antara ‘penyelesai masalah dunia'



DARIPADA seorang yang tidak tahu bidang apa hendak diceburi kepada seorang yang berwawasan ingin menjadi antara insan berminda tersohor bagi menyelesaikan masalah dunia.



Perbezaan tersebut jelas menunjukkan betapa besar perubahan pemikiran yang dilalui Encik Muhammad Ihsan Abdul Rahman sejak mengambil keputusan menjejakkan kaki ke alam kejuruteraan.



Pelajar tahun kedua Diploma dalam Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Singapura (SP) itu menceritakan bahawa tidak pernah terlintas pun di fikirannya mahu mencuba jurusan tersebut.



"Saya tak ambil pelajaran fizik pun di sekolah menengah. Saya ambil biologi dan kimia dan tak pernah terfikir pun fasal kejuruteraan.



"Selepas berbincang dengan keluarga dan kawan-kawan, saya buat keputusan cuba bidang kejuruteraan sebab bunyinya macam menarik dan ia ada masa depan yang cerah," kata Encik Ihsan, 18 tahun, ketika dihubungi.



Ternyata keputusannya itu tepat.



Anak sulung dalam empat beradik itu merupakan antara penerima Biasiswa Industri Tenaga (EIS) tahun ini.



Namun, kejayaan mendapat biasiswa tersebut tidak datang dengan mudah.



Beliau pernah ditolak sebuah syarikat selepas satu sesi temuduga.



Mujur, SP Group menghubunginya dan mahu menemuduga beliau pula.



"Saya tak sangka akan dapat sebab ramai lagi calon yang lebih baik dari segi akademik," katanya, yang kini mendapat Gred Purata Mata (GPA) kumulatif 3.4.



"Tapi syukur saya dapat biasiswa ini sebab ia berprestij dan seolah-olah memberi saya 'tekanan' lebih untuk menaikkan GPA saya," tambah beliau.



Encik Ihsan juga gembira dengan adanya ikatan pekerjaan yang perlu dilaksanakan dengan SP Group selama dua tahun setelah pengajiannya di SP tamat kelak kerana ia bermakna beliau "ada peluang pekerjaan yang terjamin selepas NS (Perkhidmatan negara)".



Ditanya apa yang terus membakar semangat beliau agar melakukan yang terbaik dalam jurusan kejuruteraan, anak muda itu berkata meskipun pada awalnya cabaran yang dihadapi agak besar kerana beliau langsung tidak mempunyai ilmu dalam bidang tersebut, beliau bersyukur mempunyai keluarga yang sangat menyokong.



"Kerana mereka saya dapat mencapai apa yang telah saya capai sejauh ini," ujar beliau.




Tidak sangka terima biasiswa selepas alami kecederaan



APABILA Encik Syafiq Syazwan Ruslan, 20 tahun, memohon untuk mendapatkan Biasiswa Industri Tenaga (EIS), beliau tidak meletakkan harapan yang tinggi akan berjaya dalam permohonannya itu.



Pelajar tahun kedua Politeknik Ngee Ann (NP) itu mengalami kecederaan di jari akibat kegiatan kokurikularnya iaitu silat, dan harus melalui pembedahan.



Beliau mengalami kecederaan itu pada Mei lalu ketika masih dalam semester ketiga di sekolah, dan terpaksa tidak dapat menghadirkan diri dalam beberapa kelas.



Beliau hanya pulih pada September dan akibatnya, keputusan pengajiannya bagi kursus Diploma dalam Kejuruteraan Elektrikal yang diambilnya, merosot.



Namun, dengan sokongan ibu bapa serta keyakinan dirinya sendiri, Encik Syafiq berjaya menarik perhatian pihak yang menemuduga beliau dari Tuas Power semasa melihat kebolehannya berkongsi pengetahuan tentang bidang tenaga.



"Apa yang menarik bagi saya tentang biasiswa ini ialah sokongan bukan sahaja dari segi kewangan, malah peluang untuk bekerja dalam sektor tenaga untuk memperoleh pengalaman dan pengetahuan yang relevan setelah saya tamat sekolah," katanya.



Yuran sekolah, elaun dan duit perbelanjaan bulanan Encik Syafiq akan ditampung bersama oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan syarikat Tuas Power.



Beliau akan dikenakan ikatan dengan Tuas Power selama dua tahun setelah tamat pengajian politeknik dan Perkhidmatan Negara (NS).



Encik Syafiq menambah beliau amat teruja untuk menyertai Tuas Power dan berharap agar dapat terus bekerja dengan syarikat itu selepas tempoh dua tahun.



"Saya harap dapat terus bersama Tuas Power meskipun bond saya sudah tamat kerana Tuas Power antara syarikat tenaga terbaik di Singapura," katanya.



Encik Syafiq mengakui bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengalaman bekerja dalam sektor itu kerana telah terlepas peluang menyertai program latihan dalam industri semasa beliau mengambil kursus kejuruteraan elektrikal di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).



"Ini peluang amat baik bagi saya untuk menggunakan apa yang saya telah pelajari dan mengaplikasikannya dalam situasi praktikal," kata beliau.




Berbaloi cintai dua bidang, alam sekitar dan kejuruteraan



CINTA kepada alam sekitar dan minat bidang kejuruteraan.



Dua perkara inilah yang mendorong Encik Muhammad Afiq Sapuan, 18 tahun, memilih kursus Diploma dalam Pengurusan Tenaga Bersih di Politeknik Ngee Ann (NP).



Beliau merupakan antara sembilan pelajar yang menerima Biasiswa Industri Tenaga yang dibiayai oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) bersama syarikat tenaga tempatan.



Dengan biasiswa itu, Encik Muhammad Afiq akan diberi peluang bekerja di bawah syarikat PacificLight Power.



Ini akan membantunya mencapai impiannya bekerja dalam sektor penjanaan tenaga, dengan harapan beliau dapat menyumbang kepada peralihan Singapura kepada rangkaian tenaga yang lebih bersih dan mampan.



"Dengan biasiswa ini, saya harap saya dapat lebih melibatkan diri dalam sektor penjanaan tenaga serta dalam kajian dan penyelidikan untuk membantu Singapura terus maju ke arah tenaga yang tidak merosakkan alam sekitar," kata Encik Muhammad Afiq.



Beliau dulu pernah menjadi presiden kelab alam sekitar di sekolah menengahnya di mana beliau mempelajari tentang tenaga matahari.



Itulah detik beliau mula melahirkan rasa ingin tahu tentang pelbagai jenis tenaga dan gurunya kemudian menyarankan agar beliau menceburi bidang tenaga bersih.



"Pada masa itu, saya tidak tahu langsung apa aspirasi saya untuk masa depan, dan apabila saya dapat tahu tentang bidang ini, saya memutuskan untuk mencubanya," katanya.



Kini, pelajar tahun kedua itu bangga dapat mempelajari sesuatu yang memang sudah menjadi minatnya dari dulu.



Dengan elaun yang juga termasuk dalam biasiswa itu, Encik Muhammad Afiq juga berharap dapat menyertai program yang akan meningkatkan kemahiran dan pengetahuannya dalam bidang ini.



Beliau kini sedang menuntut dalam semester empat di NP dan memperoleh purata gred kumulatif (CGPA) 3.76.



"Saya sebenarnya bukan seorang yang 'kaki belajar', tetapi kerana kursus saya sejajar dengan apa yang saya minati, saya rasa terdorong untuk bersungguh-sungguh dalam bidang pelajaran saya," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >