DPM Teo gesa cari hasil saling bermanfaat dalam tuntutan bertindih Laut China Selatan

NEGARA yang mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu berusaha mencapai hasil positif dan bukan hasil tambah sifar, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, pada Isnin (19 Okt).

Sekiranya mereka mencari hasil tambah sifar, pertikaian itu sukar diselesaikan dan mungkin membawa kepada hasil negatif sekiranya konflik meletus, atau keadaan tegang berterusan.

"Tiada siapa akan dapat manfaat daripada akses kepada sumber-sumber berpotensi besar," katanya.

"Walaupun kedaulatan tidak boleh dibahagi, perkongsian sumber boleh dibahagi tak terhingga. Pembangunan Bersama sumber kaya akan membolehkan pihak yang menuntut berkongsi kekayaan laut."

Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional, berkata demikian pada persidangan bertema 'Asia Tenggara dan Amerika Syarikat: Asas stabil dalam persekitaran tidak menentu'.

Persidangan sehari di Hotel Fullerton itu dianjurkan bersama Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam dan Institut Brookings, salah satu kumpulan pemikir tertua Washington.

Encik Teo menyentuh soal subjek Laut China Selatan dalam satu ucapan meluas yang cuba menawarkan satu rangka kerja lebih baik bagi menilai kepentingan sesuatu kejadian dan peristiwa.

Beliau menggariskan tiga tunggak yang dilihatnya sebagai penting bagi meneruskan kestabilan, keamanan dan pertumbuhan di rantau ini.

Tiga tunggak itu ialah perdagangan dan kerjasama ekonomi, keterlibatan pertahanan dan keselamatan, dan pertukaran antara rakyat.

Presiden Institut Brookings, Encik Strobe Talbott, menegaskan dalam ucapan pembukaannya bahawa Asia Pasifik sebuah kawasan yang sangat penting kepada dunia pada keseluruhannya.

Asia Pasifik mempunyai ciri-ciri pertumbuhan ekonomi dinamik, kepentingan strategik dalam memelihara kebebasan pelayaran, sumbangannya kepada perjuangan menentang kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), dan peranan Asean sebagai institusi pelbagai hala.

Kejayaan Asean dalam "membentuk masyarakat lebih rapat", katanya, boleh menjadi contoh kepada dunia memandangkan masalah yang dihadapi oleh blok seperti Kesatuan Eropah (EU).

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 44
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.