SANTAI BERSAMA DOC ELLY

Dr Elly kongsi 'tip kesihatan' dengan peserta

MEMILIH makanan sihat, lakukan kegiatan bersama keluarga, termasuk bersenam dan mempelajari cara-cara mudah dan ringkas menyediakan makanan yang lazat tetapi sihat.

Itulah antara "tip kesihatan" yang dipelajari lebih 30 peserta yang menyertai sesi sarapan Santai Bersama Doc Elly anjuran Berita Harian yang diadakan di restoran Fig & Olive, di Shenton Way, semalam.

Cik Arubaya Buang, 55 tahun, yang mempunyai seorang anak berusia 32 tahun dan dua cucu berkata beliau teruja mendapat tip kesihatan, lebih-lebih lagi dengan keprihatinan yang disuarakan kini mengenai masalah penyakit kencing manis.

"Sesi yang dijalankan ini amat baik.

"Saya mempelajari bukan sahaja tip tentang makanan sihat, malah cara-cara menjalani gaya hidup sihat, menyediakan menu makanan sihat selain cara-cara menyediakan makanan yang bukan sahaja cepat dihidangkan, tetapi juga lazat," jelasnya lagi.

Seorang lagi peserta, Encik Nasir Nader, 67 tahun, yang hadir bersama isterinya berkata beliau gembira kerana mengetahui lebih mendalam tentang pemakanan, kesihatan dan pelbagai penyakit.

Encik Nasir yang mempunyai seorang anak dan dua cucu bercadang menerapkan tip kesihatan itu dalam hidup sehariannya.

Antara persediaan makanan yang dipelajari peserta termasuk Crispy Chicken Avocado Wrap yang mengandungi 377 kalori, Hummus yang mengandungi 134 kalori dan Energy Rainbow Fruit Wraps yang mengandungi 289 kalori.

Dalam sesi semalam, Dr Elly Sabrina Ismail telah membentangkan topik perbincangan seperti Fit Famili - Resipi Famili Sihat; Pelajar Sihat, Minda Cerdas; Bijak Membeli, Sihat Diri; Resipi Starter-Kit: Sarapan Sihat, Snek Sihat dan Makanan Minda.

Turut berkongsi pengetahuan dalam sesi tersebut ialah pakar pemakanan, Cik Humairah Hameed Maricar, yang bercakap mengenai pemakanan sihat.

Sementara itu Pengurus Operasi di Fig & Olive, Encik Saifullizan Shaikh Osman, 47 tahun, berkata pihaknya telah pun mengorak langkah menyediakan makanan sihat walaupun sebelum pemerintah menguar-uarkannya baru-baru ini.

"Lebih 85 peratus makanan yang disediakan di Fig & Olive adalah makanan sihat.

"Makanan-makanan sihat ini disediakan antara lain kerana permintaan yang semakin meningkat, lebih-lebih oleh para pekerja di sini.

"Lebih 75 peratus pelanggan merupakan pekerja di Shenton Way yang lebih mementingkan kesihatan mereka, lantas pemilihan makanan sihat ini menjadi keutamaan mereka," ujar beliau.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:28
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:15
Maghrib
6:53
Isyak
8:06
3 HR PSI: 58
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.