Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Dr Elly pelajari ilmu Perubatan Tradisional Cina

Kini boleh buat akupunktur untuk kenalan rapat,
setelah tamat kursus Diploma Possiswazah dalam Akupunktur
Nov 13, 2023 | 05:31 AM



Sebagai doktor di klinik perubatan umum (GP), Dr Elly Sabrina Ismail, melihat ramai pesakit datang menemuinya sekadar untuk mendapatkan sijil perubatan (MC) selepas menjalani rawatan di klinik Perubatan Tradisional Cina (TCM).

Beliau, yang tidak pernah mendapatkan rawatan TCM, ingin tahu bagaimana perubatan yang telah wujud sejak lebih 2,000 tahun lalu itu berfungsi dalam memberi kelegaan kepada pesakit yang mengalami sakit-sakit badan.

“Ada juga pesakit saya yang ke klinik TCM untuk mendapatkan rawatan bagi kesukaran tidur, rasa tidak sedap badan dan kesukaran untuk hamil. Saya hairan mengapa mereka sanggup berbelanja lebih untuk ke klinik TCM dan kemudian ke klinik GP.

“Dan saya lihat ada di antara mereka yang pulih daripada keadaan yang dialami. Saya tak pasti sama ada mereka sembuh kerana gabungan perubatan Barat dan TCM, atau hanya TCM tetapi ini membuat saya selalu tertanya-tanya bagaimana rawatan itu berfungsi,” kata doktor keluarga di Banyan Clinic itu.

Pada 2021, beliau dan suaminya, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, juga seorang doktor GP, mendaftar bagi kursus Diploma Possiswazah dalam Akupunktur yang ditawarkan Kolej Perubatan Cina Tradisional Singapura.

Kursus itu, yang hanya dibuka kepada doktor perubatan dan doktor gigi, dijalankan secara sambilan selama dua tahun.

Ia dijalankan dalam bahasa Inggeris pada setiap petang Ahad dari 2 hingga 5 petang.







Dr Elly menerima diplomanya pada September dan lega ‘projek Covid’ beliau itu akhirnya selesai.

“Ia memerlukan komitmen kerana kelas diadakan pada hujung minggu, pada hari kami mahu berehat daripada kerja dan meluangkan masa dengan keluarga.

“Jadi ia adalah satu pengorbanan juga, lebih-lebih lagi semasa tahun kedua apabila kami perlu melakukan amalan klinikal. Kami perlu ke klinik TCM pada sebelah malam dua kali seminggu.

“Tapi pengorbanan ini kecil jika dibandingkan dengan pengajian TCM bagi peringkat ijazah sarjana muda selama lima tahun jika diambil secara sepenuh masa atau tujuh tahun secara sambilan,” kata Dr Elly sambil menambah rakan sekelasnya termasuk pakar ginjal dan pakar neurologi.

Dengan diploma itu, beliau dapat melakukan rawatan akupunktur ke atas orang-orang yang dikenali seperti ahli keluarga.

Jika Dr Elly mahu menawarkan rawatan itu di kliniknya, beliau perlu mengambil satu lagi peperiksaan yang dikendalikan oleh pakar perubatan TCM dari Guangzhou, China.

“Saya masih memikirkan sama ada saya mahu mengambilnya atau tidak,” katanya yang tidak tahu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Menurut Dr Elly, ilmu yang diraih daripada kursus itu boleh menambah nilai kepada nasihat yang beliau berikan kepada pesakit, dan ini diharapkan dapat meningkatkan kepercayaan mereka terhadapnya.

“Tujuan utama saya mengambil kursus ini adalah untuk lebih memahami apa yang dimaksudkan oleh pesakit Cina saya yang tanya apa yang boleh atau tidak boleh mereka makan.

“Bagi saya, makanlah sahaja makanan yang sihat. Tetapi pakar perubatan TCM akan kata, elakkan makanan ‘sejuk’, elakkan kubis atau jangan biar angin dihalakan pada perut.

“Selepas mengikuti kursus ini, saya lebih faham tentang konsep TCM jadi saya boleh memberi nasihat dengan lebih baik.

“Walaupun saya tidak menawarkan akupunktur buat masa ini, konsep yang saya pelajari banyak membantu pesakit Cina saya atau sesiapa yang mendapatkan rawatan TCM.

“Ilmu ini membantu pesakit, dan membantu saya meraih kepercayaan mereka kerana saya faham apa yang mereka maksudkan dan dapat beri nasihat yang sewajarnya,” kata beliau.

Dr Elly turut meluahkan rasa kagum dengan rawatan TCM kerana baginya, ia banyak melibatkan perubatan pencegahan.

Beliau berkata pakar perubatan TCM tidak sekadar memberi ubat untuk mengurangkan rasa sakit, tetapi mereka ingin tahu lebih mendalam tentang latar belakang seseorang itu, seperti pekerjaan yang dilakukannya, bagaimana beliau makan dan bagaimana beliau tidur.

“Semua ini memainkan peranan, tetapi doktor Barat kadangkala tidak menanyakan semua ini. Mereka beri ubat untuk kurangkan rasa sakit dan itu sahaja.

“TCM pula percaya pada perubatan holistik yang mempunyai banyak lagi aspek selain ubat-ubat herba dan akupunktur.

“Jadi apabila saya membuat laporan kes (semasa amalan klinikal), saya perlu nasihatkan tentang semua itu, dan saya fikir inilah dia perubatan keluarga,” katanya.

“Tetapi konsepnya memang berbeza dengan perubatan Barat, dan saya perlu meletak tepi apa yang saya telah belajar tentang perubatan sebelum ini,” tambahnya.

Dr Elly menjelaskan, TCM menggunakan konsep holisme yang dalam bidang perubatan bermakna merawat seseorang itu dengan mengambil kira faktor sosial dan mental, selain sekadar gejala penyakit yang dialaminya.

“Mereka percaya bahawa tubuh seseorang itu tidak beroperasi secara sendirian sebaliknya berinteraksi dengan sekitarannya, dan mereka percaya bahawa luaran dan dalaman tubuh berkait melalui sebuah sistem yang dipanggil ‘meridien’.

“Jadi apabila pakar perubatan TCM melihat lidah pesakit, mereka boleh tahu apa yang tidak kena dengan jantung. ‘Meridien’ ini seperti sistem MRT yang ada banyak stesen. Setiap stesen adalah titik ‘meridien’. Jika ada titik yang tersumbat, akan ada bahagian tubuh tertentu akan terjejas. Dan dalam ‘meridien’ ada ‘qi’ iaitu tenaga. Kita boleh melihat ‘qi’ ini melalui keadaan tubuh seseorang,” terangnya.

Dr Elly berkata beliau faham mengapa TCM menggunakan keadaan luaran seseorang itu untuk melihat keadaan dalamannya kerana tidak ada mesin untuk melihat ke dalam tubuh pesakit pada zaman dahulu.

Beliau memberi contoh bagaimana pakar perubatan TCM menggunakan keadaan lidah untuk memahami apa yang berlaku dalam tubuh seseorang.

“Jika ada ulser di hujung lidah, ini bermakna ada api di jantung. Mereka percaya pada yin (sejuk) dan yang (panas) jadi jika ada banyak api, ini bermakna yang terlalu tinggi dan yin terlalu rendah. Jadi mereka akan beri ubat-ubat herba untuk mengurangkan yang,” katanya.


Dr Elly tidak menafikan beliau memerlukan masa untuk meyakini apa yang diajar kepadanya itu namun beliau akur ada perkara tertentu dalam TCM yang mungkin berkesan.

Sebagai contoh, selepas mengikut kursus TCM itu, beliau mula percaya pada keberkesanan titik akupunktur tertentu seperti Zu San Li – titik tekanan di bahagian kaki dekat dengan lutut yang turut disebut sebagai “titik panjang umur”.


“Saya baru belajar tentang TCM selama dua tahun dan perlu mendalaminya lagi. Tetapi ia memang suatu subjek yang menarik.

“Ia membantu saya memahami pesakit saya dan untuk pesakit saya juga rasakan yang saya tahu sesuatu tentang budaya mereka,” kata Dr Elly.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >