Dua 'keledai wang' dijel berkaitan penipuan bungkusan DHL

DUA lelaki Malaysia dihukum penjara pada Rabu (19 Okt) kerana terlibat dalam satu penipuan bungkusan melibatkan 348 mangsa kehilangan lebih $19 juta sehingga akhir Ogos lalu.

Suhaimi Jaffar, 36 tahun, dipenjara 20 bulan, manakala Mohammad Afiq Ishak, 24 tahun, 18 bulan.

Mereka membuka akaun bank di Singapura semata-mata untuk menerima wang daripada mangsa sebuah sindiket yang bertanggungjawab menjalankan penipuan yang dirujuk sebagai 'penipuan bungkusan DHL'.

Dua lelaki itu mengaku bersalah terhadap satu tuduhan setiap seorang di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Ganjaran).

Suhaimi dan Afiq orang pertama terlibat dalam penipuan itu yang dihukum. Kes 10 tertuduh lain di peringkat praperbicaraan.

Mahkamah diberitahu bahawa sindiket itu menjalankan penipuan rentas negara, dengan rangkaian pengendali dan kaki di Malaysia.

"Biasanya, mangsa akan diberitahu bahawa polis Republik Rakyat China memintas sebuah bungkusan yang mereka kirim dan ia berisi barang yang menyalahi undang-undang," kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Leong Wing Tuck.

"Mangsa kemudian diancam akan dikenakan tindakan kecuali mereka bersedia menyelesaikan isu itu dengan menyerahkan butiran akaun bank dan kata laluan, atas alasan ia diperlukan untuk mengesahkan identiti mereka.

"Tanpa disedari mangsa, penipu itu akan mendapat akses ke akaun bank mereka dan membuat pemindahan elektronik yang tidak dibenarkan ke akaun bank lain, pada masa sama mereka mengatur agar hasil curi itu dikeluarkan sebaik sahaja pemindahan elektronik selesai," kata DPP Leong.

Pengendali sindiket itu juga menyamar sebagai pegawai polis.

Suhaimi ditangkap di cawangan UOB di Pusat Sivik Woodlands pada 25 Julai, selepas polis dimaklumkan oleh kakitangan bank tentang kelakuannya yang mencurigakan.

Dia cuba mengeluarkan wang daripada akaunnya.

Afiq ditahan di cawangan UOB di Thomson pada 25 Julai, selepas polis dimaklumkan oleh kakitangan.

Dia cuba mengeluarkan wang daripada akaunnya dan mengaku kepada kakitangan bank bahawa dia mengeluarkan wang tunai atas arahan orang lain.

Dalam empat kes itu, wang terlibat berjaya didapatkan semula dan dipulangkan kepada mangsa.

Menurut DPP Leong, Afiq dijanjikan RM4,000 sebagai ganjaran, manakala Suhaimi dijanjikan pinjaman jumlah yang tidak dapat ditentukan bagi melunas hutangnya.

Waktu Solat

Subuh
5:32
Syuruk
6:55
Zuhur
12:58
Asar
4:22
Maghrib
6:58
Isyak
8:13
3 HR PSI: 69
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 2,949.120 +6.070