Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: KEGIATAN & RIADAH

Dua pasangan kongsi pengalaman guna rangkaian basikal

Seorang pasangan berbasikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, dengan jarak 10km pada hari biasa, 40km pada hujung minggu
Nov 04, 2021 | 05:30 AM



Singapura menyasarkan untuk menjadi negara yang mengurangkan penggunaan kereta. Untuk mencapai matlamat ini, pemerintah telah meningkatkan sokongannya untuk menggalakkan kegiatan berbasikal, dengan visi untuk mewujudkan 1,300 kilometer laluan berbasikal menjelang 2030. BERITA HARIAN menyorot pengalaman dua pasangan yang kian berjinak-jinak dengan aktiviti berbasikal. 



CIK Sarin Abdullah serta suaminya Encik Fawzie Shariff ialah antara semakin ramai penunggang basikal yang giat melakukan hobi itu dalam pandemik ini.



Menurut pekerja perkhidmatan awam berusia 49 tahun itu, beliau memang sering ke gim sebelum itu namun disebabkan sekatan Covid-19, kegiatan berbasikal menjadi sukan yang dipilih kerana beliau mendapati ia memberinya ketenangan dan merehatkan mindanya sambil membantunya kekal cergas.



"Kali terakhir saya berbasikal adalah semasa remaja dan saya ingat lagi saya asyik jatuh dari basikal kerana tidak dapat mengimbangkan diri.



"Jika ke Pantai East Coast, saya rasa semua pokok-pokok yang ada di sana... saya pernah melanggarnya," seloroh ibu dua anak itu dalam satu panggilan bersama Berita Harian (BH).



Secara purata, Cik Sarin kongsi bahawa beliau berbasikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, dengan jarak 10 kilometer pada hari biasa dan 40 kilometer pada hujung minggu.



Menurut Cik Sarin, beliau mendapati kawasan perumahannya di Punggol adalah lokasi yang sesuai untuk mula berbasikal kerana terdapat beberapa Rangkaian Penghubung Taman (PCN) yang berbeza.



Singapura merancang untuk menyediakan sebanyak 1,300 kilometer (km) laluan berbasikal menjelang 2030, meningkat daripada 440km pada 2020.



Di Punggol, laluan basikal sepanjang Punggol Drive dan Edgefield Plains menghubung pengguna ke stesen LRT Damai, Oasis dan Kadaloor.



Di samping itu, laluan baru sedang dibina dan disiapkan secara berperingkat di Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Panjang, Sembawang, Toa Payoh dan Yishun, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).



Bagi Cik Fauziah Mohd Ali, 57 tahun, beliau meluahkan keghairahannya apabila mendapat tahu laluan basikal akan diperluas. Beliau juga mula berbasikal sejak pandemik ini bersama suaminya Encik Mohamed Shahjohan Mohamed Salleh, 69 tahun.



"Ini memberi saya dan suami lebih banyak tempat untuk berbasikal sambil meneroka keindahan Singapura," ujar pekerja perkhidmatan itu yang berkongsi sukan ini cukup santai sebagai senaman untuk menjaga kesihatan bagi golongan yang meningkat usia.



Selain itu, lebih banyak tempat letak basikal juga akan disediakan di sekitar pulau ini sedang pihak berkuasa kini meningkatkan sokongan untuk penggunaan basikal, dengan tujuan untuk mewujudkan negara yang kurang penggunaan kereta.



Di kawasan Tampines, pengguna basikal boleh menjangka lebih banyak laluan yang akan dilancarkan sepanjang Tampines Avenue 1, 4, 5, dan 8. Ini bermakna Tampines akan menyediakan 14 kilometer laluan basikal secara keseluruhan.



Program ini akan menghubung pengguna basikal ke stesen MRT, pusat pertukaran bas dan kemudahan utama untuk memperbaiki infrastruktur berbasikal yang kosnya dijangka lebih $1 bilion.



Setiap estet perumahan boleh menjangkakan laluan sedemikian menjelang 2023.



LTA berkata ia juga akan melancarkan penanda zon sekolah di laluan pejalan kaki di luar lebih 250 sekolah rendah, menengah dan pendidikan khas.



Penanda telah diletakkan di sepanjang rangkaian laluan berbasikal untuk mengingatkan pengguna supaya terus berada di laluan yang ditetapkan atau memperlahankan kelajuan basikal mereka semasa menghampiri kawasan sesak.



"LTA akan meneruskan usaha pendidikan pelengkap dan usaha menjangkaui orang ramai untuk menggalak mereka berbasikal dengan selamat, bertanggungjawab dan sopan," kata LTA.



Sebaik mendapat tahu perkembangan terbaru ini, Cik Sarin turut melahirkan sokongan ke atas usaha dan pendekatan tersebut, termasuk peraturan dan etika berbasikal di laluan yang disediakan.



"Oleh kerana kami juga kadangkala mengongsi laluan itu bersama pejalan kaki, sudah tentunya kami perlu prihatin dengan segala peraturan yang ditetapkan.



"Bagi etika pula, lebih ramai penunggang basikal juga harus berusaha untuk mempelajari tata tertib jalan raya serta penggunaan laluan berbasikal yang betul," ujarnya, memberi contoh jika seseorang itu berbasikal secara perlahan, dia seharusnya mengayuh di laluan paling kiri.



Mengulas tentang isu keselamatan, Cik Fauziah berkata dengan lebih banyak PCN, beliau akur bahawa ia juga meningkatkan keselamatan bagi pengguna basikal kerana tidak terdedah kepada kenderaan besar dan berat seperti di jalan raya.




SERONOK BERBASIKAL TAPI USAH LUPA TATA TERTIB SEMASA BERBASIKAL



"Oleh kerana kami juga kadangkala mengongsi laluan itu bersama pejalan kaki, sudah tentunya kami perlu prihatin dengan segala peraturan yang ditetapkan. Bagi etika pula, lebih ramai penunggang basikal juga harus berusaha untuk mempelajari tata tertib jalan raya serta penggunaan laluan berbasikal yang betul."
- Cik Sarin Abdullah.




File

Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >