Dua pekerja Bangladesh dipenjara kerana biaya pengganasan

DUA pekerja Bangladesh yang ditahan pada April di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dihukum penjara pada Selasa (30 Ogos) kerana membiaya pengganasan.

Mamun Leakot Ali, 30 tahun, dipenjara dua setengah tahun, manakala Zzaman Daulat, 34 tahun, dijel dua tahun.

Kedua-duanya sebahagian daripada sekumpulan enam pekerja yang didakwa di bawah Akta Pengganasan (Pencegahan Pembiayaan) pada Mei.

Menggesa hukuman berat, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nicholas Khoo berkata dua lelaki itu mungkin berfikir hukuman paling teruk yang mereka hadapi bagi tindakan mereka ialah dihantar balik, tetapi mahkamah perlu menghantar mesej bahawa jenayah itu "dikutuk sepenuhnya".

Beliau menambah bahawa "pengganasan besar boleh dilakukan dengan jumlah wang yang agak kecil".

Mereka sebahagian daripada kumpulan yang dikenali sebagai Negara Islam di Bangladesh (ISB), dan menyediakan antara $200 dan $500 untuk membiayai serangan pengganas di negara asal mereka.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah pada mulanya, tetapi pada Selasa mengaku bersalah dan memohon dikenakan hukuman ringan.

Peguam Noor Marican dan Ramesh Tiwary mewakili mereka secara percuma. Empat rakan senegara mereka mengaku bersalah sebelum ini dan dipenjara antara dua hingga lima tahun bulan lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa Mamun menjadi timbalan pemimpin ISB manakala Zzaman anggota majlis keselamatan kumpulan itu.

Matlamat ISB ialah menjatuhkan pemerintah Bangladesh, menubuhkan sebuah negara Islam dan meletaknya di bawah khalifah kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS).

Pihak berkuasa menemui senarai sasaran serangan di Bangladesh dan manual membuat bom milik mereka.

Encik Marican memberitahu mahkamah kedua-dua tertuduh meminta maaf mendalam kepada rakyat Singapura kerana menimbulkan ketakutan dan bahaya. Beliau berkata mereka kini "amat malu" kerana memburukkan nama Islam.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Chay Yuen Fatt berkata sembarang tindakan yang menyokong pengganasan mesti "dihalang secukupnya".

"Demi keselamatan dan keamanan negara asal mereka dan juga masyarakat antarabangsa yang lebih luas, saya berharap mereka benar-benar menyedari bahawa mereka telah tersesat dan akan membuang ideologi melampau mereka."

Hukuman dikebelakangkan ke 27 Mei, tarikh mereka pertama kali didakwa di mahkamah.

Waktu Solat

Subuh
5:52
Syuruk
7:14
Zuhur
1:17
Asar
4:40
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
3 HR PSI: 44
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,002.400 -10.370