Duta gesa pekerja Bangladesh tolak pengganasan, lapor rakan radikal

PESURUHJAYA Tinggi Bangladesh ke Singapura menggesa rakan senegaranya di sini supaya melaporkan rakan mereka yang mereka mengesyaki menjadi pelampau.

"Bangladesh mempunyai tanggungjawab dan kewajipan melaporkan kelakuan radikal. Menjadi tanggungjawab kita menjaga undang-undang di negara ini, tempat kita bekerja dan hidup," kata Pesuruhjaya Tinggi Mahbub Uz Zaman pada Selasa (3 Mei).

Menyatakan bahawa "Dhaka mempunyai dasar toleransi sifar terhadap pengganasan", beliau berkata warga Bangladesh di sini tidak perlu takut untuk bersuara atau mendekati Suruhanjaya Tinggi itu bagi bantuan.

Encik Zaman berkata demikian dalam temu bual dengan akhbar The Straits Times, selepas tersiar berita lapan lelaki Bangladesh radikal, yang memanggil kumpulan mereka Negara Islam di Bangladesh, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri bulan lalu.

Lima lagi warga Bangladesh dihantar pulang selepas siasatan mendapati mereka "memiliki dan/atau menyebarkan bahan berkaitan jihad, atau menyokong penggunaan pengganasan bersenjata dalam mengejar satu tujuan keagamaan", kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Selasa.

Sejak beberapa tahun lalu, Encik Zaman dan pemimpin lain masyarakat Bangladesh di sini melawat asrama pekerja dua kali sebulan. Semasa lawatan itu, mereka menggalak pekerja Bangladesh memberi tumpuan pada pekerjaan mereka dan mengingatkan mereka bahawa "mereka tidak dibenarkan mencetus kekacauan", ujar Encik Zaman.

Anggota masyarakat Bangladesh di sini mengutuk rakan mereka yang radikal itu, dan menggesa rakyat Singapura supaya tidak merumuskan mengenai warga Bangladesh di sini berdasarkan "tingkah laku kumpulan kecil itu".

Naib Presiden Dewan Perniagaan Bangladesh di Singapura, Encik Mohammad Shahiduzzaman, berkata: "Kebanyakan pekerja di sini hanya mahu mendapatkan lebih banyak wang supaya keluarga mereka di kampung boleh mempunyai kehidupan lebih baik."

Pengerusi Persatuan Bangladesh Singapura, Mr Zillur Rahman Siddiqui, berkata: "Orang-orang radikal itu tidak mewakili masyarakat kami yang cintakan keamanan dan rajin. Kami berharap rakyat Singapura tidak akan mendiskriminasi kami."

Sementara itu, Bangladesh akan meningkatkan proses tapisan untuk memastikan pekerja yang masuk ke Singapura "adalah orang baik", kata Encik Zaman, yang menambah bahawa polis Bangladesh juga telah dimaklumkan supaya menjalankan pemeriksaan ke atas suspek pelampau.

"Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan agensi keselamatan di sini dan telah memberi maklumat kepada pihak berkuasa," katanya.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 17
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.