Empat cabaran utama Singapura dalam 50 tahun seterusnya: Shanmugam

SINGAPURA berdepan dengan empat cabaran utama sepanjang 50 tahun akan datang, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Uundang, Encik K. Shanmugam, pada Isnin (28 Mac) malam.

Cabaran itu ialah: mengimbangi antara berhemah dalam soal kewangan dengan perbelanjaan sosial lebih tinggi; penduduk yang menua dengan pesat tanpa penggantian; persaingan dari luar negara; dan pengganasan.

Bercakap kepada pelajar di sebuah forum di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), di mana beliau juga menjawab soalan mengenai pelbagai isu, Encik Shanmugam menggariskan "hakikat serius" bahawa Pemerintah dalam beberapa tahun kebelakangan membelanjakan lebih daripada apa yang dikumpulnya.

Ini dapat dilakukan kerana generasi awal rakyat Singapura menabung dengan cukup, membolehkan Pemerintah memanfaatkan pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan, katanya.

Beliau berkata setiap kali menjelang Belanjawan, Anggota Parlimen, baik daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) mahupun pembangkang, akan "berdiri dan bercakap bahawa Pemerintah seharusnya berbelanja lebih, kerana itu popular".

Bagaimana beliau menambah: "Sentiasa tanya diri anda, setiap kali sesuatu cadangan dikemukakan, dari mana wang itu akan datang? Siapa yang akan membayarnya?

Beliau memberi amaran kepada para pelajar itu bahawa generasi mereka akhirnya harus membayar lebih banyak cukai untuk melunas hutang itu.

Penduduk Singapura antara yang paling pesat menua di dunia.

Selain meningkatkan kos penjagaan kesihatan, penduduk semakin tua akan menjejas kerancakan ekonomi dan asas cukai di negara ini, dan menyebabkan jumlah anak muda yang boleh didapatkan bagi pasukan pertahanan berkurangan.

Encik Shanmugam berkongsi sebuah artikel berita bahawa penjualan lampin dewasa tidak lama lagi akan mengatasi penjualan lampin bayi di Jepun, dan berkata kadar penuaan Singapura lebih cepat daripada Jepun.

Di luar negara, Singapura menghadapi persaingan baik di peringkat serantau mahupun global, kata beliau.

Baik Kuala Lumpur dan Hong Kong, yang berlumba-lumba untuk menjadi hab kewangan seterusnya, Thailand cuba memotong Singapura sebagai hab udara terbesar di rantau ini, atau negara seperti Indonesia dan Malaysia mahu bergerak di depan dalam rantaian nilai petrokimia, Singapura tidak mampu mengambil mudah kedudukannya di dunia.

Mengenai pengganasan, beliau berkata Pemerintah menganggap ancaman serangan pengganasan sebagai yang tertinggi pernah dihadapi Singapura.

Beliau juga berkata ada had pada apa yang Singapura boleh lakukan bersama negara negara jiran dalam membanteras pejuang radikal yang pulang dari Timur Tengah.

"Kedaulatan bermakna mereka membuat keputusan bagi diri mereka sendiri tentang undang-undang mereka," katanya. "Kita bekerja rapat dengan mereka dalam soal risikan, mengenai isu-isu lain, tetapi kita tidak boleh memutuskan apa yang mereka harus lakukan terhadap orang-orang mereka, itu masalah yang sedia ada."

Di tengah-tengah cabaran-cabaran itu, terdapat juga peluang untuk Singapura, kata Encik Shanmugam.

Singapura dalam kedudukan baik untuk menjadi pusat kewangan bagi rantau ini, dan sebagai sebuah ekonomi kecil dan lincah, Singapura juga dalam kedudukan baik untuk mengambil kesempatan daripada peluang yang ditawarkan China dan India.

Penekanan berterusan Singapura pada pendidikan bermakna warga Singapura boleh berfikir dengan cepat, satu kemahiran penting dalam dunia yang semakin tidak menentu.

Singapura juga sedang menangani masalah pengganasan secara lansung, kata Encik Shanmugam, yang menekankan keselamatan negara tanggungjawab semua rakyat negara ini.

Menyedari bahawa matlamat kumpulan seperti Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) ialah memecah belah masyarakat dan merenggangkan umat Islam demi menarik mereka menyertainya, Encik Shanmugam menggesa rakyat Singapura supaya menentang Islamophobia sedang Pemerintah terus bertindak tegas terhadap ekstremisme.

Beliau menambah bahawa Singapura berjaya mengekalkan masyarakat yang harmoni kebanyakkannya dengan membuat setiap orang "memandang diri kita sebagai rakyat Singapura dan kita perlu bekerja keras untuknya".

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:04
Isyak
8:19
3 HR PSI: 21
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.