Empat lagi kanak-kanak dikesan NUH ada TB terpendam

EMPAT lagi kanak-kanak yang dimasukkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) antara Julai dan akhir bulan lalu didapati mempunyai penyakit batuk kering (TB) terpendam.

Hospital itu memanggil semula 178 kanak-kanak yang menjadi pesakit lama di Wad 47 untuk pemeriksaan TB kerana ia mendapat tahu pada 27 Nov bahawa seorang jururawat yang bekerja di sana mempunyai penyakit tersebut.

Kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital tersebut antara Julai, apabila jururawat berkenaan mendapatkan rawatan bagi batuk teruk, dan November, apabila beliau disahkan menghidapi TB.

Doktor NUH sebelum ini berkata memanggil balik pesakit dari wad pediatrik itu ialah langkah berjaga-jaga memandangkan jururawat berkenaan memakai topeng apabila di wad.

Awal bulan ini, seorang bayi lelaki berumur empat bulan menjadi pesakit kanak-kanak pertama yang didapati mempunyai kuman penyakit itu.

Setakat ini, ujian telah dijalankan ke atas lebih 130 kanak-kanak yang dimasukkan ke Wad 47 pada masa itu dan empat lagi kini telah disahkan menghidap TB terpendam, yang bermakna mereka mempunyai bakteria itu tetapi belum mempunyai penyakit TB.

Oleh itu, mereka itu tidak berjangkit.

Tanpa rawatan, kira-kira 5 hingga 10 peratus orang yang dijangkiti TB terpendam akan mendapat penyakit itu dalam hidup mereka, dengan separuh menghidapinya dalam tempoh dua tahun pertama jangkitan.

Rawatan lanjut boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit itu.

Kadar sembuh tinggi bagi pesakit TB, yang biasanya menjangkiti paru-paru tetapi boleh juga menjejas otak, ginjal atau tulang belakang.

Jurucakap NUH berkata kanak-kanak dijangkiti TB terpendam akan dirawat dengan antibiotik selama sembilan bulan.

Beliau menambah: "Seperti semua ubat-ubatan, antibiotik mungkin mempunyai kesan sampingan yang boleh dipantau. Pesakit akan dinasihatkan oleh doktor masing-masing dan dipantau dengan teliti."

Jururawat yang dijangkiti itu sedang menerima rawatan dan tidak lagi berjangkit.

TB disebar melalui titisan udara, biasanya apabila orang yang telah dijangkiti batuk, bersin, ketawa atau bercakap. Biasanya seseorang itu dijangkiti jika terdedah lama. Bagaimanapun, daya tahan kanak-kanak sakit mungkin lebih rendah, menjadikan mereka lebih terdedah kepada jangkitan.

Seramai 1,252 orang di Singapura telah didiagnosis mempunyai penyakit itu tahun ini.

Gejalanya termasuk batuk berterusan, demam, keletihan, menggigil dan hilang selera makan serta berat badan. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa maut.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 49
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.