Enam satelit bawa Singapura maju setapak ke angkasa lepas

SATU peristiwa penting bagi Singapura dicipta di India pada Rabu malam (16 Dis).

Pada 8.48 malam, satelit cerapan bumi komersial pertama dari Singapura dilancarkan ke orbit angkasa lepas. Tiga minit kemudian, lima satelit lebih kecil dilancar.

Menaiki roket milik Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (Isro), enam satelit buatan Singapura itu berjaya dilancar dari Pusat Angkasa Satish Dhawan di Andhra Pradesh, dengan tepukan dan sorakan para saintis yang hadir.

Ia turut dipantau ketua saintis pertahanan Singapura, Encik Quek Tong Boon, dan penyelidik kanan.

Dilepaskan dari Kenderaan Pelancaran Satelit Kutub (PSLV-C29) Isro, satelit itu kini berlegar sekitar 550 kilometer di atas tapak berhampiran khatulistiwa hingga lima tahun.

Menyifatkannya sebagai "Pelancaran emas", Dr P. Kunhikrishnan, pengarah pusat angkasa lepas itu, berkata ia pelancaran ke-50 dari Andhra Pradesh, dan juga ulang tahun ke-50 Singapura, dan tahun ke-50 kerjasama dua hala antara India dan Singapura.

Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, juga mengucapkan tahniah melalui tweet kepada Isro bagi kejayaan pelancaran tersebut.

Enam satelit itu dibina oleh pasukan daripada pengilang pertahanan Singapore Technologies Electronics (ST Electronics), firma teknologi angkasa lepas Microspace Rapid yang berpangkalan di Singapura, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Yang terbesar ialah Teleos-1, satelit cerapan bumi seberat 400 kilogram yang dibina oleh saintis daripada ST Electronics, DSO National Laboratories dan NTU.

Membawa kamera yang boleh mengambil gambar pada resolusi bumi sehingga satu meter, satelit itu boleh menjalankan misi pengawasan bagi keselamatan maritim dan sempadan. Ia boleh bertahan sehingga lima tahun.

Lima satelit lebih kecil itu, dibina oleh NUS, NTU dan Microspace Rapid, akan digunakan untuk pemantauan alam sekitar tropika dan penderiaan jauh.

Pelancaran tersebut dibuat empat tahun selepas Singapura meletak mikro satelit buatan sendirinya yang pertama, X-Sat, di angkasa lepas.

Satelit lebih kecil juga telah dilancarkan oleh NTU.

Mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Isro, Encik Quek berkata satelit baru itu akan membolehkan Singapura menguji keupayaannya dan mendapat faedah daripada teknologi angkasa lepas.

Perkembangan terkini itu akan meningkatkan aspirasi angkasa lepas Singapura, yang ditetapkan pada 2013 apabila pemerintah menubuhkan Pejabat Teknologi dan Industri Angkasa Lepas (OSTIn) di bawah Lembaga Kemajuan Ekonomi.

Misi OSTIn ialah merancang dan melaksana strategi ekonomi bagi mengembangkan industri angkasa lepas dan satelit Singapura yang mula tumbuh.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 67
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.